HomeFeaturedBerita Semasa

Pasaran buruh Malaysia catat pengangguran terendah dalam tempoh 11 tahun

KUALA LUMPUR,. Pasaran buruh Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan kadar pengangguran 2.9 peratus pada November 2025, paras terenda

PESAWAT MALAYSIA AIRLINES KE KUALA LUMPUR BATAL PROSES BERLEPAS DI LAPANGAN TERBANG NARITA
MINDEF beri kerjasama penuh kepada SPRM, perkukuh tadbir urus
Kerajaan MADANI komited perkukuh hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan

KUALA LUMPUR,. Pasaran buruh Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan kadar pengangguran 2.9 peratus pada November 2025, paras terendah dalam tempoh 11 tahun, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata pasaran buruh negara kekal berdaya tahan meskipun berdepan peralihan ekonomi, kemajuan teknologi yang pesat dan perubahan amalan kerja global.

“Di saat ekonomi menghadapi ketidakpastian pekerjaan yang semakin meningkat, ekosistem pekerjaan Malaysia kekal stabil secara relatif, dengan hasil yang memberangsangkan bagi graduan baharu dan pencari kerja kali pertama,” katanya dalam artikel bertajuk Perkukuh Kebolehpasaran Graduan dan Penyelarasan Pasaran Buruh di Malaysia yang dihantar ke Bernama.

Ramanan berkata menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah guna tenaga meningkat kepada 17.09 juta orang manakala nisbah guna tenaga kepada penduduk naik kepada 68.8 peratus sekali gus menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia berjaya memasuki pasaran buruh.

“Pekerjaan kini semakin dipacu oleh peranan pekerja mahir dan separa mahir sekali gus menggerakkan negara ke arah pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata bagi anak muda Malaysia, perkembangan itu penting kerana ekonomi bukan sahaja menyediakan lebih banyak pekerjaan malah meningkatkan kualiti pekerjaan.

“Ini menunjukkan bahawa ekonomi bukan sahaja menyediakan lebih banyak pekerjaan tetapi apa yang lebih penting ialah meningkatkan kualiti pekerjaan tersebut,” katanya.

Ramanan berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah kerangka Ekonomi MADANI terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk memperkukuh ekosistem kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif selain agenda pekerjaan berkualiti serta memperkukuh perlindungan sosial.

Beliau berkata usaha itu diperkukuh melalui MYFutureJobs yang dibangunkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dikuasakan oleh data pasaran buruh masa nyata.

“MYFutureJobs memainkan peranan utama dalam menghubungkan pencari kerja dengan peluang pekerjaan yang sesuai di samping membantu majikan mengenal pasti calon yang memenuhi keperluan operasi,” katanya.

Ramanan berkata data MYFutureJobs menunjukkan 90.1 peratus penempatan pekerjaan pada 2024 adalah dalam kategori berkemahiran tinggi dan separa mahir manakala bahagian itu kekal dominan pada 86.7 peratus pada 2025.

Beliau berkata trend itu menangkis persepsi bahawa graduan kekurangan peluang pekerjaan.

“Walaupun ketidakpadanan kerja masih wujud, sebahagian besarnya didorong oleh penyelarasan gaji dan keutamaan geografi bukannya kekurangan pekerjaan,” katanya.

Ramanan berkata pada 2025, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) merekodkan 74,841 permohonan Kehilangan Pekerjaan (LOE) dengan kira-kira 70 peratus penerima yang diluluskan berjaya kembali bekerja antara 2020 dan 2025.

Beliau juga berkata MYFutureJobs menjangkakan permintaan meningkat dalam sektor sunrise seperti perkhidmatan digital, logistik e-dagang, teknologi hijau, penjagaan kesihatan serta pembuatan maju sekali gus memastikan tenaga kerja Malaysia kekal relevan dan berdaya saing.

–BERNAMA