KUALA LUMPUR,. Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Yayasan Peneraju (YP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) semalam bagi memperku
KUALA LUMPUR,. Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Yayasan Peneraju (YP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) semalam bagi memperkukuh pembangunan bakat Bumiputera dalam industri digital dan sektor berpotensi tinggi di Malaysia, selaras dengan agenda pembangunan tenaga kerja nasional Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
MoU ini mewujudkan kerjasama strategik berbilang tahun antara kedua-dua organisasi untuk membentuk, melaksana dan memperluaskan program pembangunan bakat yang dipacu industri, dengan tumpuan kepada sektor digital, kecerdasan buatan (AI), teknikal dan profesional.
Kerjasama ini sejajar dengan keutamaan nasional termasuk Ekonomi MADANI, serta inisiatif MyMahir–National AI Council for Industry (NAICI) yang diterajui oleh TalentCorp dan MyDigital.
Sebagai bukti keberkesanan pendekatan berasaskan hasil, kerjasama rintis antara TalentCorp dan Yayasan Peneraju pada tahun 2025 telah berjaya melatih dan menempatkan 159 peserta Bumiputera ke dalam peluang pekerjaan, dengan gaji permulaan mencecah RM5,000.
Kejayaan ini menegaskan kepentingan model pembangunan bakat yang mengutamakan kebolehpasaran dan penempatan kerja sebenar, bukan sekadar latihan semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Edward Ling berkata kerjasama ini mencerminkan peralihan yang disengajakan ke arah kualiti, kerelevanan dan hasil dalam pembangunan bakat.
“Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, peranan TalentCorp adalah untuk menghubungkan risikan kemahiran, penglibatan majikan dan pengaktifan tenaga kerja. Melalui platform seperti MyMahir, kami berusaha memastikan program pembangunan kemahiran sejajar dengan permintaan industri, khususnya dalam sektor digital dan berasaskan teknologi di mana Malaysia perlu kekal berdaya saing,” katanya.
Kerjasama ini juga melengkapi usaha terkini Yayasan Peneraju untuk memperluas akses kepada pembangunan kemahiran berimpak tinggi melalui pembiayaan tanpa faedah bagi peningkatan kemahiran AI dan teknologi, mencerminkan sokongan ekosistem yang lebih menyeluruh dalam membina bakat sedia masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Ibrahim Sani berkata kerjasama ini memperkukuh mandat yayasan itu dalam membina keupayaan Bumiputera bagi menyokong penyertaan ekonomi jangka panjang.
“Yayasan Peneraju memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyaluran 10,000 bakat Bumiputera ke dalam laluan kepimpinan supaya mereka dapat menjadi pencipta nilai dalam sektor pertumbuhan tinggi. Kerjasama dengan TalentCorp membolehkan kami mengintegrasikan pembiayaan, pembangunan kemahiran dan penglibatan majikan dalam satu rantaian berasaskan hasil, di mana latihan diterjemahkan kepada kemajuan kerjaya yang bermakna dan mampan,” katanya.
Menerusi perjanjian MoU ini, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam penyelidikan, kepimpinan pemikiran dan risikan kemahiran, disokong oleh struktur tadbir urus bersama bagi memantau pelaksanaan program, penjejakan hasil serta penambahbaikan berterusan.
