PBB syor ‘tempoh bertenang’ hentikan semua konflik kemanusiaan

PBB syor ‘tempoh bertenang’ hentikan semua konflik kemanusiaan

NEW YORK,. Majlis Keselamatan (SC) Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) rancang melaksanakan ‘tempoh bertenang’ selama 90 hari terhadap semua konflik kemanusiaan, sebagai usaha bersama memerangi pandemik COVID-19.

Versi awal draf berkenaan minggu lalu yang dihasilkan bersama Perancis dan Tunisia meminta tempoh rehat selama tiga bulan, termasuk gesaan untuk menghentikan keganasan di semua negara, serta meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam memerangi COVID-19.

Draf baharu itu yang diteliti semula Isnin, kini meminta semua pihak terbabit dalam konflik bersenjata untuk segera berhenti selama sekurang-kurangnya 90 hari berturut-turut.

Antara lain draf terbabit berkata, langkah itu selari dengan objektif bagi memastikan semua bantuan kemanusiaan, atau perkhidmatan seumpamanya dapat disalurkan dengan lancar dan selamat.

Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan bagi tujuan pengundian kerana isu paling penting, iaitu perincian peranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berdepan kritikan keras Amerika Syarikat (AS) masih belum diputuskan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada 23 Mac lalu mendesak gencatan senjata diadakan segera di seluruh dunia.

Draf baharu resolusi berkenaan bagaimanapun hanya mencakupi negara yang berada di bawah pemantauan rapi SC PBB, termasuk Syria, Yaman, Afghanistan, Mali, Republik Afrika Tengah, Libya, Colombia dan Sudan.

Beberapa usaha dapat dilihat berlaku selepas gesaan oleh Guterres, walaupun beberapa bulan selepas itu, keganasan semakin meningkat di Yaman, Libya dan Selatan Sudan. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )