
Pelaburan domestik, MoU dengan China pacu industri baharu – Amir Hamzah
PUTRAJAYA,. Malaysia perlu terus menumpukan usaha mempelbagaikan asas eksport dan meningkatkan kualiti pelaburan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi banyak lawatan ke negara luar sebelum ini untuk meningkatkan hubungan dengan rakan dagang dapat membantu Malaysia pada masa depan.
Mengenai dasar tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang kerap berubah, beliau berkata amat penting untuk Malaysia terus menumpukan usaha memperkukuh kekuatan ekonomi sedia ada.
“Jadi, penting untuk kita fokus perkara yang kita mahu buat, seperti industri (tempatan) yang ada, kita fokus untuk meningkatkan lagi (keupayaannya),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Aidilftri Kementerian Kewangan di sini, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir ke majlis itu.
Amir Hamzah berkata usaha dan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) turut disokong syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“GLIC telah memberikan komitmen mahu meningkatkan DDI. Ini juga akan meningkatkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara,” katanya.
Mac lepas, Anwar ketika menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa semasa waktu pertanyaan lisan di Dewan Negara berkata GLIC disaran membuat DDI sekitar RM120 bilion bagi tempoh lima tahun untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Ketika ditanya mengenai pertukaran 31 dokumen termasuk memorandum persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China, Amir Hamzah berkata langkah itu membuka peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan industri baharu termasuk intra-bidang perdagangan dengan negara kuasa besar itu.
“Berlandaskan MoU yang dimeterai, kita ada peluang untuk meningkatkan industri yang baharu, intra-bidang perdagangan dengan China serta negara perdagangan lain, agar hal ini dapat mewujudkan imbangan perdagangan yang terbaik bagi kita,” katanya.
Susulan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari yang berakhir semalam, kedua-dua negara telah menandatangani 31 memorandum persefahaman dan perjanjian meliputi pelbagai sektor termasuk pelancongan, perladangan, teknologi dan pembinaan.
Anwar dan Xi menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen itu.
Antara MoU yang dimeterai adalah usaha menaik taraf program “Two Countries Twin Parks” Malaysia-China serta kerjasama dalam pematuhan piawaian.
Selain MoU, Malaysia dan China bertukar dua nota, dua perjanjian dan protokol untuk memajukan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.
— BERNAMA