Penduduk ambil air Bukit Kg. Sepakat untuk kegunaan ketika gangguan bekalan air

Penduduk ambil air Bukit Kg. Sepakat untuk kegunaan ketika gangguan bekalan air

BALIK PULAU,. Penduduk di Teluk Kumbar yang masih terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual memilih untuk mendapatkan air dari air bukit di Bukit Kampung Sepakat, Teluk Kumbar, kerana ia bukan sahaja bersih malah selamat untuk digunakan untuk minum dan masak makanan.

Kawasan Bukit Kampung Sepakat yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah orang ramai di situ, menjadi tumpuan penduduk sejak hari Rabu lepas bagi mendapatkan bekalan air bersih.

Seorang penduduk Muhamad Said, 60, berkata mata air dari air bukit itu telah wujud sejak lebih 30 tahun lepas, namun beliau dan pemilik kebun durian di situ telah membuat saluran paip dari atas bukit hingga ke kaki bukit, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata kawasan kaki bukit itu sering menjadi tumpuan orang ramai untuk dapatkan air ketika berlaku gangguan air, termasuk semasa insiden Sungai Perai 18 Dis lepas yang mana penduduk di situ terputus bekalan air selama empat hingga lima hari.

“Sebelum ini penduduk kena naik atas bukit untuk ambil air, kat situ (atas bukit) memang ada takungan mata air sebab itu kami pasang paip kira-kira 100 meter dari atas bukit hingga kaki lima bukit supaya lebih mudah untuk orang ramai nak dapatkan air.

“Saluran paip itu dibawa terus ke tempat tadahan air di kaki bukit, jadi penduduk boleh mandi di sini juga, air memang jernih, tidak keruh dan tidak berbau, jadi selamat untuk masak dan minum…sini memang tumpuan penduduk ambil air,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi Norhaslinda Samsuri beliau membawa anaknya datang mandi di situ, sebelum membawa balik beberapa tong air untuk kegunaan di rumah hari ini, kerana bekalan yang ada sudah hampir habis.

“Sejak gangguan bekalan air Rabu lepas, hari-hari kena angkut air bagi penuh kerana air yang disimpan setiap hari tak cukup, sebab di rumah ada ramai…hari ni saya bawa anak mandi siap-siap di sini sebab tak larat nak angkut air banyak, ambil air untuk buat makan dan minum,” katanya air di situ bersih dan tidak pernah habis.

Abdul Rashid Said, 65, berkata beliau tidak ada pilihan lain selain mendapatkan bekalan air dari air bukit di situ, kerana memerlukan air yang banyak di rumah berikutan mempunyai anak istimewa.

“Memang kami simpan air sebelum ni tapi tak cukup, tu pak cik mai ambil sini sama yang depa hantar guna tangki tu pun pak cik ambil juga.. air nak pakai banyak kat rumah,” katanya yang merupakan penduduk Kampung Sepakat.

Sementara itu, petugas yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Masjid Ridwaniah di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini bertugas selama 24 jam sepanjang gangguan air di kawasan itu berlaku bermula Rabu lalu.

Siak Masjid Ridwaniah Rosli Hashim berkata petugas masjid itu, membantu mengagihkan air dari tangki flexi yang diletakkan di luar masjid berkenaan kepada penduduk setempat, kerana dengan cara itu ia lebih memudahkan orang ramai untuk mengambil air memandangkan kawasan tersebut menjadi tumpuan bagi mendapatkan bekalan air.

“Sepanjang gangguan air berlaku, petugas masjid secara sukarela bertugas 24 jam membantu orang ramai mengagihkan air dari tangki flexi, mereka akan mengisi air ke dalam botol atau baldi yang dibawa penduduk.

“Ada penduduk yang datang dari Bayan Lepas dan Sungai Ara untuk mengambil air di sini, kerana kawasan mereka sudah kehabisan air,” katanya.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan, tahap kedua pemulihan bekalan air telah bermula dari 6 pagi tadi dengan pengepaman optimum air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau dan menyasarkan untuk memulihkan bekalan kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)