SHAH ALAM,. AEON Company (M) Berhad kini menggajikan seramai 187 orang kurang upaya (OKU), iaitu kira-kira 2.3 peratus daripada keseluruhan tenaga ker
SHAH ALAM,. AEON Company (M) Berhad kini menggajikan seramai 187 orang kurang upaya (OKU), iaitu kira-kira 2.3 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja tempatan syarikat itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah tersebut membuktikan penggajian golongan OKU boleh dilaksanakan pada skala lebih besar dengan komitmen kepimpinan, struktur sokongan dan budaya organisasi yang bersesuaian.
“Saya menghargai usaha AEON dalam memperkukuh penggajian OKU menerusi Inclusive Workforce Strategy 2026-2028,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan Program Able for Disable dan Penyampaian Sijil Kursus Pengenalan Job Coach AEON 2026 di AEON Mall Shah Alam pada Isnin.
Nancy berkata, pekerjaan bukan sekadar soal memperoleh pendapatan, malah membuka ruang kepada seseorang untuk membina keyakinan diri, berdikari serta menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Justeru, katanya, penyertaan golongan OKU dalam tenaga kerja perlu dilihat sebagai soal hak dan kesaksamaan dalam pembangunan negara.
Menurutnya, Seksyen 29 Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) mengiktiraf hak OKU untuk mendapat akses kepada pekerjaan, manakala majikan bertanggungjawab menggalakkan pekerjaan yang stabil melalui penilaian keupayaan serta penyediaan tempat kerja yang bersesuaian.
Nancy turut menghargai pendekatan AEON yang melangkaui proses pengambilan pekerja menerusi Program Able for Disable yang telah melibatkan 171 kakitangan OKU dan 122 pemimpin AEON dalam latihan.
Katanya, latihan berkenaan memberi penekanan kepada aspek komunikasi, keyakinan diri, kefahaman mengenai ketidakupayaan, kepimpinan serta sokongan di tempat kerja, yang menjadi antara asas kepada pembentukan persekitaran kerja yang benar-benar inklusif.
Beliau berkata, usaha tersebut turut selaras dengan aspirasi Minggu Aksesibiliti Negara 2026 yang berlangsung minggu lalu dengan tema “Aksesibiliti Diperkasa, Inklusiviti Terpelihara”.
“Aksesibiliti tidak terhad kepada prasarana fizikal seperti tanjakan dan lif sahaja, tetapi turut merangkumi aksesibiliti sikap serta keterangkuman di tempat kerja,” katanya.
Nancy berkata, Perkhidmatan Job Coach juga merupakan antara bentuk sokongan pekerjaan penting kepada golongan OKU bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan, melaksanakan tugas dengan lebih berkesan serta kekal bekerja.
Menurutnya, Job Coach turut membantu menilai kebolehan, minat dan keperluan individu bagi mendapatkan padanan pekerjaan yang sesuai, selain berperanan sebagai penghubung antara pekerja dan majikan.
“Matlamat akhirnya bukan untuk mewujudkan kebergantungan kepada Job Coach, tetapi untuk membina keyakinan, kompetensi dan kemandirian pekerja OKU,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy menyeru sektor swasta supaya menilai potensi dan sumbangan yang mampu diberikan golongan OKU apabila peluang serta sokongan sewajarnya disediakan.
Beliau menggesa sektor korporat supaya beralih daripada sekadar “menggajikan OKU” kepada usaha membangunkan bakat dan kerjaya golongan berkenaan.
Pada masa sama, beliau menyeru organisasi supaya melibatkan komuniti OKU dalam merancang persekitaran serta sistem pekerjaan yang inklusif.
“Kita tidak seharusnya membuat andaian tentang apa yang diperlukan oleh OKU tanpa mendengar pengalaman mereka sendiri,” katanya.
— GERBANGPOST

