Pereka Malaysia ‘Wan & Mary’ buat penampilan sulung di Minggu Fesyen Antarabangsa Sutera Thai

Pereka Malaysia ‘Wan & Mary’ buat penampilan sulung di Minggu Fesyen Antarabangsa Sutera Thai

BANGKOK,. Pereka fesyen Malaysia Hazzerwan Hazlee dan Maryam Musa, pengasas ‘Wan & Mary’ tampil mempamerkan koleksi moden kontemporari sutera Thai pada Minggu Fesyen Antarabangsa Sutera Thai kali ketiga yang berlangsung di Bangkok.

Koleksi ‘La’ Betta’, diinspirasikan daripada ‘Ikan Laga Siam’ atau dikenali sebagai ‘Ikan Laga’ di Malaysia yang melambangkan kecantikan dan kebebasan.

Pasangan pereka ini menghasilkan sejumlah 26 helai pakaian sutera Thai dengan kombinasi sentuhan berdasarkan busana pakaian tradisional Malaysia seperti Kebaya.

Maryam berkata mereka berdua mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan busana itu.

“Ini kali pertama Wan & Mary tampil di pentas pertunjukan fesyen antarabangsa. Ia juga merupakan koleksi terbesar yang pernah kami reka setakat ini,” katanya kepada Bernama selepas pertunjukan fesyen itu.

Sementara itu, Hazzerwan berkata koleksi mereka menampilkan pelbagai bentuk rekaan, menggunakan gabungan warna terang serta campuran daripada sutera Thai dan sutera tulle bagi mencipta penampilan demi-couture.

“Wan & Mary menggunakan sutera Thai untuk Baju Kurung atau pakaian tradisional rekaan kami. Bagaimanapun, pada pameran itu kami turut mempersembahkan pilihan pakaian sutera Thai moden kontemporari.

“Ramai mungkin menganggap sutera Thai hanya sesuai untuk pakaian tradisional. Kami berharap pertunjukan itu akan menggalakkan generasi muda memakai sutera Thai dengan rekaan kontemporari,” katanya.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan isteri Datin Catherina Cherian Samuel turut hadir pada pertunjukan fesyen itu yang diadakan pada Sabtu.

Turut hadir ikon fesyen Malaysia dan pereka kasut antarabangsa Datuk Jimmy Choo.

Minggu fesyen itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri Thailand dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Promosi Thailand sempena ulang tahun ke-90 Permaisuri Sirkit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)