Petronas Sprinta Racing sambar Binder untuk Moto3 musim 2021

Petronas Sprinta Racing sambar Binder untuk Moto3 musim 2021

KUALA LUMPUR,. Pasukan Petronas Sprinta Racing telah menandatangani kontrak selama setahun dengan pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder dari pasukan CIP Green Power, untuk kejuaraan Moto3, musim depan.

Pengarah pasukan Johan Stigefelt yang menyifatkan kehadiran pelumba berusia 22 tahun itu tepat pada masanya berkata beliau yakin bahawa Binder yang telah menyertai kejuaraan moto3 Red Bull Rookies Cup pada 2015, dapat membantu pasukan itu mencapai lebih banyak kejayaan.

“Kami dapati beliau adalah pelumba yang agresif, berbakat dan cemerlang, terutama pada hari perlumbaan. Pelumba sebeginilah yang pasukan kami mahu bekerjasama, iaitu pelumba yang ingin sentiasa memperbaiki prestasi dalam kariernya dan mencabar diri untuk berada di petak depan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh pasukan itu, hari ini.

“Ini pasti menjadi sasaran beliau. Binder telah membuktikan dirinya sebagai antara prospek paling direbuti dalam kategori junior, sentiasa dalam aksi yang sengit sepanjang musim ini, termasuk mencatatkan masa pusingan terpantas di GP Austria tahun ini.

Sementara itu, Binder berkata beliau gembira dapat membantu pasukan yang berpangkalan di Malaysia itu untuk mencapai lebih banyak kejayaan musim depan.

“Saya yakin kita dapat berkerjasama dengan baik dan pasukan kita mempunyai masa depan yang cerah. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa ini adalah peluang terbaik untuk terus berada pada kedudukan terbaik.

“Sasaran kita adalah untuk memberi saingan supaya sentiasa berada pada kedudukan teratas dalam setiap perlumbaan,” kata Binder, yang meraih tempat kedua di GP Argentina 2019, iatiu pencapian terbaik dalam karier beliau.

Ketika ini, pasukan Petronas Sprinta Racing, diwakili oleh John McPhee dari Great Britain dan pelumba negara, Khairul Idham.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This