PMI kukuh di Asia pacu ringgit meningkat sebanyak 70 mata asas

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS hari ini, menjejaki kenaikan mata wang Asia lain, dipacu oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan rantau ini bagi November selain pakej rangsangan dan keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat 70 mata asas kepada 4.0690/0750 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata hasil yang agak menarik berbanding mata wang G10 menunjukkan aliran pelaburan ke dalam pasaran ekuiti dan bon tempatan di rantau ini akan berterusan.

Mengenai ringgit pula, beliau mengatakan kebimbangan kenaikan ringgit akan dihadkan oleh mesyuarat mengenai lanjutan kuota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“Pelabur tempatan mungkin memantau perkembangan mesyuarat itu,” katanya kepada Bernama.

Semalam, dilaporkan mesyuarat OPEC+ yang telah dijadualkan sebelum ini ditangguhkan sehingga 3 Dis, 2020 untuk memberikan menteri-menteri tempoh lebih panjang bagi mencapai persetujuan berkenaan pengeluaran.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali yen.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0429/0486 daripada 3.0388/0430 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.9092/9169 daripada 4.8826/8891.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4602/4687 daripada 5.4427/4501 namun meningkat berbanding yen kepada 3.8994/9055 daripada 3.9080/9129 ketika ditutup semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )