PNB terus komited martabatkan pelaburan patuh syariah

KUALA LUMPUR,. Permodalan Nasional Bhd (PNB) komited untuk terus memartabatkan pelaburan patuh syariah di Malaysia dan memperkukuh kedudukannya sebagai firma pelaburan yang diyakini dengan produk patuh syariah.

Ketua Jabatan Pengurusan Syariah PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata PNB berhasrat untuk terus maju dengan pencapaian yang lebih ketara melalui pelaksanaan inisiatif berterusan bagi membantu menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan industri pelaburan Islam Malaysia.

Berpandukan objektif itu, PNB komited menjana pulangan yang mampan untuk pihak berkepentingannya dan pada masa sama, secara proaktif, memainkan peranan memelihara kepercayaan masyarakat terhadap operasi pelaburannya yang patuh syariah.

“PNB mempunyai mandat tersendiri yang diamanahkan oleh kerajaan dan bukan berteraskan keuntungan semata-mata, justeru penting bagi PNB untuk menjalankan proses yang mantap dari hujung ke hujung dalam pemilihan pelaburan. Kami sentiasa berhati-hati kerana PNB melabur dengan menggunakan duit pemegang unit, iaitu rakyat Malaysia.

“PNB mempunyai kelas aset yang tersendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan trend pelaburan syarikat lain. Kami hanya melabur dalam keadaan menyakinkan,” katanya pada taklimat media baru-baru ini.

Setakat 31 Dis, 2020 aset di bawah pengurusan (AUM) pengurus dana terbesar Malaysia itu terus meningkat kepada RM324.5 bilion.

100 Peratus Patuh Syariah

Ahmad Basri berkata Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua Jawatankuasa Fatwa Negeri di Malaysia telah mengiktiraf pelaburan dalam tabung unit Amanah Saham Bumiputera (ASB)/Amanah Saham Nasional (ASN) dan tabung-tabung unit amanah lain di bawah syarikat pengurusan milik PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), adalah pelaburan yang dibenarkan (harus mengikut hukum Islam).

Tambahan pula, PNB juga mempunyai Panel Penasihat Syariah (SAC) yang bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan serta memantau urusan berkaitan pelaburan tabung unit amanah PNB/ASNB supaya ia mematuhi syariah sepertimana yang disarankan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“PNB memfokuskan sektor strategik yang berkepentingan kepada negara, selari dengan objektif utama penubuhan PNB iaitu meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata SAC PNB, yang kini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, merupakan badan berkecuali yang terdiri daripada cendekiawan/ulama syariah, pakar undang-undang dan pengamal pasaran kewangan terkemuka.

Panel tersebut bersidang empat kali setahun dan akan melakukan semakan status patuh syariah ke atas syarikat-syarikat pelaburannya bagi setiap tiga tahun untuk memastikan mereka kekal patuh syariah.

Semakan seterusnya ditetapkan pada 2023.

Metodologi Penyaringan Maqasid Al-Syariah PNB

Ahmad Basri berkata PNB komited untuk memastikan semua dana unit amanah ASNB kekal patuh syariah mengikut prinsip dan kaedah penyaringan Maqasid Syariah yang telah dipersetujui oleh SAC PNB.

Beliau berkata saiz pelaburan PNB sangat besar sehingga industri kewangan dan pasaran modal Islam masih tidak mencukupi untuk menampungnya.

Justeru, PNB mewujudkan saringan maqasid syariah, melakukan beberapa inisiatif penambahbaikan dan menstrukturkan pelaburannya bagi mencapai matlamat dan memastikan ia patuh syariah, katanya.

“Setakat 30 Sept, 2021 jumlah saiz keseluruhan modal pasaran bagi lebih 900 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah RM1.8 trilion, tetapi bagi syarikat-syarikat yang patuh syariah, saiz modal pasaran hanyalah 67.8 peratus bersamaan RM1.2 trilion.

“Kebanyakan syarikat yang tidak melepasi kriteria patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bukan kerana isu aktiviti perniagaan seperti terlibat dengan arak dan judi, tetapi kerana nisbah kewangan mereka, di mana hutang dengan bank konvensional melebihi 33 peratus daripada jumlah aset syarikat.

“Selain patuh syariah, saringan maqasid syariah PNB turut mengklasifikasikan syarikat dengan sewajarnya berdasarkan sumbangannya kepada masyarakat. Oleh itu, jangan salah faham sekiranya PNB melabur dalam syarikat tidak patuh syariah oleh SC,” katanya.

Pada 2020, sebanyak 75 peratus pelaburan PNB telah berjaya mencapai pematuhan syariah mengikut tanda aras kepatuhan syariah SC, manakala 25 peratus yang lain adalah patuh syariah mengikut metodologi penyaringan Maqasid Al-Syariah PNB.

PNB memiliki pegangan saham majoriti dalam 10 syarikat strategik di Malaysia iaitu Malayan Banking Bhd, SP Setia Bhd, UMW Holdings Bhd, Sime Darby Plantation Bhd, Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, Velesto Energy Bhd, Sapura Energy Bhd, Duopharma Biotech Bhd dan MNRB Holdings Bhd.

PNB turut memiliki lebih 10 peratus pegangan saham atau pendedahan lebih RM1 bilion dalam beberapa syarikat teras terpilih, antaranya Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Gamuda Bhd, Petronas Gas Bhd, BIMB Holdings Bhd dan Axiata Group Bhd.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )