PUTRAJAYA,. Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Pameran Rona Jiwa Malaysia: Bersama Membina Negara Ba
PUTRAJAYA,. Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Pameran Rona Jiwa Malaysia: Bersama Membina Negara Bangsa sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pameran yang berlangsung hingga 19 September 2026 itu diadakan di Ruang Pameran, Aras 1, Bangunan Anjung Bestari, Perpustakaan Negara Malaysia, mengetengahkan keunikan sejarah, budaya dan warisan 13 negeri di Malaysia.
Antara tarikan utama ialah paparan sejarah negeri, alat muzik dan kesenian tradisional, pakaian, makanan serta permainan warisan yang mencerminkan kepelbagaian identiti masyarakat Malaysia.
Pengunjung turut boleh menyertai aktiviti ‘Coretan Perpaduan’ dengan berkongsi harapan dan aspirasi mereka terhadap masa depan perpaduan negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penganjuran pameran itu selari dengan usaha pembinaan Negara Bangsa melalui penghayatan terhadap kepelbagaian, pengukuhan jati diri serta pemupukan rasa saling menghormati dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun berbeza budaya, adat dan warisan, seluruh rakyat Malaysia berkongsi satu tanah air dan satu cita-cita untuk membina negara yang harmoni, berdaulat dan sejahtera,” katanya.
Pameran berkenaan memberi peluang kepada pengunjung untuk menghayati kepelbagaian sejarah, budaya dan warisan Malaysia, selain memupuk rasa perpaduan serta identiti bersama dalam kalangan masyarakat.
— GERBANGPOST

