
PR1MA beriltizam menyelesaikan projek bermasalah, tingkat usahasama dengan kerajaan negeri
PETALING JAYA – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah berbangkit berkaitan projek-projek sakit di samping berbincang dengan kerajaan negeri untuk tingkatkan kerjasama bagi membangunkan projek rumah mampu milik dalam kalangan M40.
Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia, Dato’ Dr. Fathul Bari Bin Mat Jahya berkata beliau bersama pasukan kepimpinan PR1MA sedang dalam rangka turun padang untuk melihat projek sakit dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan yang dibuat menerusi platform-platform rasmi PR1MA.
Siri Jelajah PR1MAKita bersama Pengerusi PR1MA ini dimulakan dengan projek-projek di utara Semenanjung Malaysia melibatkan Perak dan Kedah, dan akan diteruskan ke negeri- negeri lain di masa akan datang.
Antara projek yang dilawati ialah Residensi Bandar Baru Setia Awan Perdana, Residensi Meru, Residensi Taman Raia Harmoni di Perak serta Residensi Junjong Fasa 1 dan Residensi Simpang Empat 2 di Kedah.
“Telah menjadi keutamaan saya untuk memfokuskan isu berbangkit mengenai kelewatan dalam penyiapan projek pembangunan daripada garis masa yang diberikan serta masalah yang timbul melibatkan pihak kontraktor dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya lagi, usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah ini adalah selari dengan aspirasi Kerajaan untuk membina 500,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang berkualiti buat Keluarga Malaysia.
“PR1MA sebagai sebuah agensi Kerajaan akan terus berusaha untuk mendukung aspirasi ini dan untuk sekarang, kami beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah melibatkan mana- mana projek sakit. Ini sekaligus dapat membantu kita mencapai matlamat yang ditetapkan Kerajaan menjelang 2025,” katanya.
Beliau juga telah bertemu dengan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad ketika lawatannya ke Perak dan berbincang tentang pembangunan rumah mampu milik di negeri itu.
“Sebagai pelaksana kepada projek-projek pembangunan rumah mampu milik, kami dapat meluaskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk membina rumah yang berdaya huni di lokasi strategik di Negeri Perak khusunya untuk mereka dari golongan M40,” katanya. Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Hj. Mohd Nazri bin Md. Shariff berkata,
“Harapan saya ialah dengan peluasan projek PR1MA di negeri Perak, lebih banyak rumah mampu milik akan dapat dibina sekaligus menunaikan impian rakyat Malaysia terutamanya golongan M40 untuk memiliki kediaman sendiri, selari dengan pertumbuhan ekonomi di negeri itu.”
Selain itu, sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat di bawah jenama PR1MAKita, PR1MA juga mengagihkan pek bakul makanan, bantuan kewangan kepada asnaf berdasarkan senarai dari MajlisAgama Islam Perlis (MAIP), serta sumbangan kepada masjid dengan nilai keseluruhan sebanyak RM259,900.
Sumbangan ini disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan Basikal anjuran MAIP yang bermula di Masjid Muhammadiah, Kg Guar Gajah, Arau dan turut disertai Pengerusi PR1MA Dato’ Dr Fathul Bari Jahya serta barisan kepimpinan PR1MA yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan PR1MA di 03-7628 9898 (tutup pada cuti umum Negeri Selangor) atau e-mel kepada info@pr1ma.my.
Foto kredit — PR1MA