Presiden Turki dijangka hadiri Perhimpunan Agung PBB
ISTANBUL,. Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan akan berada di Amerika Syarikat dari 21 hingga 25 Sept bagi menghadiri sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi berita Anadolu memetik pengumuman pejabat presiden pada Jumaat.
Erdogan dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Tindakan PBB yang akan dihoskan Setiausaha Agung Antonio Guterres pada 23 Sept menjelang Debat Umum peringkat tinggi.
Beliau akan berucap pada perhimpunan itu dan bertemu Guterres pada 24 Sept, yang merupakan hari pertama debat.
Erdogan dijangka berucap pada mesyuarat pertama Dialog Pemimpin bertajuk “Mega trends Impacting the Achievement of the Sustainable Development Goals.”
Beliau juga dijangka menjadi hos satu acara peringkat tinggi mengenai “Fighting Hate Speech” bersama-sama Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.
Satu pertemuan tiga hala antara Malaysia dan Pakistan juga akan diadakan sebagai sebahagian daripada mesyuarat di Perhimpunan Agung itu.
Semasa berada di New York, Erdogan dijangka mengadakan rundingan dua hala dengan pemimpin pelbagai negara.
Erdogan akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala Persidangan Pelaburan Turki ke-10 anjuran Majlis Perniagaan Turki-Amerika.
Beliau juga dijanggka bertemu wakil komuniti Turki, Islam dan Yahudi semasa kunjungannya itu dan menghadiri satu pameran foto yang menampilkan karya jurugambar terkemuka Turki Armenia Ara Guler.
— BERNAMA