PRN Johor: BN mahu lepasi 29 kerusi dahulu, lebih dari itu bonus – Ahmad Zahid

PRN Johor: BN mahu lepasi 29 kerusi dahulu, lebih dari itu bonus – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU: Pandangan dan analisa awal yang mengatakan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi antara 35 hingga 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah spekulasi semata-mata, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, apa yang penting buat UMNO dan BN ialah memastikan mereka melepasi 29 kerusi (majoriti minimum untuk bentuk kerajaan negeri), dan jika keputusan melebihi jumlah tersebut, ia adalah bonus.

Ulasnya lagi, beliau yakin keputusan akan memihak kepada UMNO dan BN memandangkan terdapat angin perubahan yang sedang melanda politik Johor, sekali gus menunjukkan keputusan Pilihan Raya Umum lepas tidak akan berulang.

“Saya yakin dengan angin perubahan sedang berlaku di Johor ini, dan juga gelombang yang sedang terhempas di pantai politik Johor ini, saya yakin para pengundi akan mengubah arah menyokong calon Barisan Nasional kerana kita yakin bahawa kerajaan gagal (Perikatan Nasional) sebelum ini tidak boleh diharap lagi.

“Dan yang menjadi kesepakatan harapan (Pakatan Harapan) pun tidak boleh diharap lagi. Oleh yang demikian harapan mereka hanya kepada Barisan Nasional.

“Saya yakin pemilihan terhadap calon yang mewakili Barisan Nasional adalah pilihan terbaik di kalangan yang baik-baik,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri program beramah mesra bersama pengundi di Flat Larkin Indah, di sini hari ini.

Turut menyertai program itu ialah Ketua UMNO Johor Bahru Tan Sri Shahril Abdul Samad, Timbalannya Datuk Yahya Ja’afar, calon BN untuk DUN Larkin Mohd Hairi Md Shah, dan Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman.

-Firdaus Azil

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)