PRN: PM Anwar mahu semua pihak berkempen secara berhemah

PRN: PM Anwar mahu semua pihak berkempen secara berhemah

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua parti yang bertanding pada pilihan raya di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu agar berkempen secara berhemah.

“Insya-Allah kita berkempen cara tersusun, sopan dan beradab,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi calon-calon parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan di beberapa pusat penamaan calon hari ini.

Anwar berkata beliau berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berlangsung di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu hari ini.

“Alhamdulillah, proses semua baik, aman dan teratur, calon-calon juga mengemukakan semua (dokumen) diperlukan dengan baik,” katanya.

Terdahulu Anwar yang diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir memberi sokongan kepada calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan di kawasan Parlimen Ampang, Gombak dan Selayang melibatkan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Abang Johari dan Hajiji yang sudi bersama-sama beliau hari ini bagi memberikan sokongan kepada calon-calon PH-BN yang bertanding.

PRN yang melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) akan diadakan pada 12 Ogos bersekali dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )