Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka sesak sempena cuti Wesak, sekolah

Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas dijangka sesak sempena cuti Wesak, sekolah

SINGAPURA,. Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menjangkakan “kesesakan lalu lintas yang tinggi” di Woodlands dan Tuas menjelang dan sepanjang tempoh cuti dari 21 Mei hingga 23 Jun, berikutan Hari Wesak (22 Mei) dan cuti sekolah bulan Jun.

Dalam satu nasihat, ICA menyatakan dengan langkah-langkah keselamatan yang diperketat di pusat pemeriksaan akibat situasi ancaman yang meningkat, para pengembara juga perlu menjangka kelewatan dan perlu mengambil kira masa tambahan untuk proses pemeriksaan imigresen.

“Kami meminta pengertian dan kerjasama para pengembara untuk bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas, mengekalkan disiplin lorong dan bekerjasama dengan pegawai ICA,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri pada Sabtu berkata Singapura telah memperketat langkah-langkah keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaan negara itu, susulan serangan di balai polis Ulu Tiram, Johor, pada Jumaat yang mengakibatkan dua pegawai polis terbunuh dan seorang lagi cedera.

Sementara itu, ICA berkata semasa tempoh cuti panjang hujung minggu sempena perayaan Good Friday baru-baru ini dari 28 Mac hingga 1 April, hampir 2.3 juta pelawat melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas atau lebih daripada 455,000 lintasan setiap hari.

“Ini adalah peningkatan hampir 30 peratus berbanding tempoh cuti panjang hujung minggu Good Friday pada 2023,” tambahnya.

Agensi itu menyatakan semasa waktu puncak, pengembara yang berlepas dengan kereta terpaksa menunggu hingga tiga jam sebelum mereka dibenarkan melalui imigresen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)