Kuala Lumpur: Orang ramai memilih pengangkutan awam bagi urusan harian dan menghabiskan cuti hujung minggu berikutan penutupan beberapa jalan utama se
Kuala Lumpur: Orang ramai memilih pengangkutan awam bagi urusan harian dan menghabiskan cuti hujung minggu berikutan penutupan beberapa jalan utama sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, hari ini.
Tinjauan Harian Metro di ibu kota hari ini mendapati pelbagai lapisan masyarakat cenderung memilih transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) yang lebih selesa dan memudahkan pergerakan mereka ke destinasi, selain mengelak terperangkap dalam kesesakan trafik.
Pekerja swasta, Siti Hajar Ramli, 28, yang bergerak dari Stesen LRT Damai ke KL Sentral berkata, penggunaan pengangkutan awam adalah pilihan terbaik untuk membawa keluarga bersiar-siar terutama ketika banyak jalan ditutup.
“Saya dan suami sebenarnya merancang untuk membawa anak ke Petrosains hari ini, tetapi baru sahaja tahu tren tidak berhenti di Stesen KLCC, jadi kami tukar rancangan menonton wayang di pawagam.
“Dengan penutupan jalan dan jangkaan kesesakan, menaiki LRT adalah yang paling masuk akal.
“Lebih cepat, selesa dan tak perlu pening fikir tempat letak kereta,” katanya ketika ditemui hari ini.
Warga emas, Tan Hock Kwee, 65, pula berkata, dia memilih kemudahan MRT untuk bergerak dari rumahnya di Sri Raya, Cheras ke Pasar Seni.
“Saya hendak membeli barangan kraf tangan dan hasil seni tempatan untuk dihadiahkan kepada keluarga besan yang kebetulan datang ke rumah.
“Hari ini, saya dapat tahu banyak jalan ditutup, jadi saya ambil keputusan naik MRT sahaja.
“Ia lebih mudah bagi saya yang sudah tua ini, tak perlu memandu jauh dan mencari tempat parkir yang susah,” katanya.
Sementara itu, pasangan muda, Nurul Fatihah Abdul Rahman, 26, dan tunangnya, Muhammad Hafiz Azman, 27, menggunakan kemudahan MRT dari Stesen Bukit Dukung ke TRX untuk membeli-belah persiapan perkahwinan.
“Kami memang tahu hari ini ada penutupan jalan, jadi kami dah rancang awal untuk naik MRT.
“Jimat masa, jimat minyak dan tak stres hadap kesesakan trafik.
“Lagi pula, ini hujung minggu terakhir sebelum kami nikah, jadi kena manfaatkan masa dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, tinjauan Harian Metro juga mendapati Rapid KL mengumumkan tren tidak akan berhenti di beberapa stesen atas faktor keselamatan dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari, hari ini.
Stesen yang terbabit adalah Ampang Park dan KLCC di laluan LRT Kelana Jaya; Stesen Persiaran KLCC dan Conlay di laluan MRT Putrajaya dan Stesen Bukit Bintang di laluan MRT Kajang.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan beberapa laluan utama di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan pusat bandar akan ditutup secara berperingkat mulai 23 hingga 28 Oktober bagi tujuan persiapan serta pelaksanaan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan trafik dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi melancarkan pergerakan serta menjaga keselamatan bersama.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan operasi perkhidmatan rel Rapid KL dilanjutkan satu jam pada waktu puncak pagi dan petang selama dua hari bermula 27 Oktober.
Menurutnya, kekerapan tren pada 25 dan 26 Oktober turut dipertingkatkan bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka meningkat.
-Agensi

COMMENTS