HomeFeatured

‘Saya rasa lengkap sebab suami ada di sebelah’ – Sherine Wong

Kuala Lumpur: Bukan tugasan biasa, malah jauh lebih besar nilainya apabila nama negara dipertaruhkan di pentas antarabangsa.Itulah cabaran digalas p

Khianat dalam kalangan pemimpin PAS penghalang kerjasama dengan UMNO – Ahmad Zahid
Iran, AS setuju teks perjanjian damai, kata Pakistan
Perjanjian buka semula Selat Hormuz mungkin dicapai tidak lama lagi – Trump

Kuala Lumpur: Bukan tugasan biasa, malah jauh lebih besar nilainya apabila nama negara dipertaruhkan di pentas antarabangsa.

Itulah cabaran digalas pengacara dan personaliti televisyen popular, Naz Rahman apabila diberi kepercayaan mengendalikan Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bersama isterinya, Sherine Wong, hari ini.

Bagi Naz, walaupun majlis rasmi itu hanya berdurasi kurang sejam, persiapannya menuntut pengorbanan masa dan tenaga luar biasa.

“Kami melalui dua hari raptai penuh sebelum hari sebenar, bermula Jumaat dan Sabtu, masing-masing penuh dengan latihan, walaupun tugas kami di atas pentas tak sampai sejam,” katanya yang ditemui selepas perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Naz mengakui antara cabaran terbesar ialah perubahan mendadak dalam atur cara, termasuk kehadiran beberapa pemimpin dunia secara mengejut.

“Perubahan berlaku sampai ke minit terakhir sebelum siaran langsung dan ini antara acara paling mencabar yang pernah saya buat kerana tahap protokol dan sensitiviti antarabangsa sangat tinggi,” jelasnya.

Bagi memastikan segalanya sempurna, Naz dan Sherine hanya sempat tidur beberapa jam sahaja.

“Dua hari ini saya tidur empat jam sahaja, kami bersiap seawal jam 4 pagi,” katanya.

Walaupun pernah mengacara acara berprestij ASEAN seperti ASEAN Transport Minister’s Gala Dinner dan ASEAN Energy Business Forum, namun sidang kemuncak kali ini adalah yang pertama buat pasangan itu sebagai hos pembukaan rasmi.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bangga sebab kita jadi tuan rumah dan pengerusi ASEAN dan majlis pembukaan ini istimewa, bukan selalu dapat peluang sebegini,” katanya.

Sementara itu, Sherine pula menyifatkan pengalaman itu sebagai kemuncak kerjayanya.

“Saya pernah mengendalikan acara antarabangsa seperti Mont Blanc dan Salon de la Horlogerie, tetapi ini kali pertama secara rasmi mewakili negara, ia satu penghormatan besar buat kami,” katanya.

Sebagai wajah hadapan Malaysia, mereka menitikberatkan setiap sebutan nama pemimpin negara ASEAN, termasuk delegasi dari Eropah dan Amerika Selatan.

“Kami terima panduan rasmi daripada Wisma Putra, tapi tetap buat penyelidikan sendiri untuk sebutan tepat, itu pun dah cukup buat kami tak cukup tidur,” katanya.

Naz turut mengakui detik paling bermakna ialah dapat berkongsi pentas bersama isteri tersayang.

“Kami sudah faham rentak masing-masing, jadi tidak perlu pandang pun sudah tahu bila nak masuk ayat, ia sama seperti berdansa bersama,” katanya berseloroh.

Sherine pula berkata, kehadiran Naz di sisi membuatkannya lebih tenang.

“Apabila saya berdiri di depan pemimpin dunia, saya rasa lengkap sebab suami saya ada di sebelah.

“Dia tahu bila saya penat atau gugup, dia hulur tangan bawah rostrum bagi ‘mints’ dan itu kekuatan kami,” katanya sambil tersenyum.

Pasangan yang sudah 17 tahun mendirikan rumah tangga ini bukan asing dalam dunia pengacaraan majlis rasmi.

Sejak 2002, mereka aktif sebagai pengacara profesional dan turut menjadi jurulatih kepada diplomat Wisma Putra.

Naz turut mendedahkan mereka menerima tawaran dua bulan lalu, tanpa perlu melalui sebarang pemilihan lain.

“Nama yang disebut cuma Naz dan Sherine, saya sampai terpaksa melepaskan tugasan MotoGP hujung minggu ini sebab saya tahu, tugas ini lebih besar demi negara,” katanya.

Majlis bersejarah itu turut mencatat detik penting apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN, sekali gus menambah makna kepada pembabitan pasangan berkenaan.

“Ini bukan sekadar tugasan, tapi sejarah yang kami raikan bersama Malaysia,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula hari ini sehingga 28 Oktober dengan menghimpunkan ribuan delegasi dari seluruh pelusuk rantau bagi memperkukuh kerjasama dan membina masa depan ASEAN yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Sebagai tuan rumah dan pengerusi, Malaysia tampil memimpin dengan keyakinan dan prinsip, memastikan ASEAN kekal sebagai tunjang kestabilan serantau, peneraju utama dalam diplomasi global dan suara berpengaruh bagi Negara-Negara Selatan (Global South).

Kepengerusian ini mencerminkan semangat ASEAN yang bersatu dan nilai Malaysia MADANI yang menekankan keadilan dan ihsan.

-Agensi

COMMENTS