Tanjung Bruas Port mula khidmat penghantar kontena ke Pelabuhan Klang

Tanjung Bruas Port mula khidmat penghantar kontena ke Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR,. Tanjung Bruas Port Sdn Bhd (TBP) memulakan perkhidmatan penghantar bagi kontena dari Tanjung Bruas, Melaka ke Pelabuhan Klang, Selangor (TBP-PKL-TBP) bertujuan memenuhi keperluan syarikat perkapalan dari bahagian utara Johor, Melaka dan selatan Negeri Sembilan.

TBP, yang merupakan anggota MMC Group, menjelaskan kumpulan kontena pertama 120 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dari CMA CGM tiba pada 3 Januari 2024.

“Projek penghantar adalah usaha dan perkongsian bersama antara TBP dan CMA CGM, dengan CMA CGM menawarkan penyelesaian lestari yang komprehensif kepada pengangkut.

“Ini termasuk penghantaran kontena, pelepasan kargo kastam dan barj dari laluan Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang dan sebaliknya melalui jaringan global mereka ke destinasi akhir kargo seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Asia Barat, Afrika Selatan, Jepun, China dan negara yang lain,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

TBP menekankan bahawa perkhidmatan itu diwujudkan untuk menarik pengangkut Melaka, dengan unjuran pengendalian tahunan sebanyak 100,000 hingga 150,000 TEU.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Datuk Ginie Lim, berkata perkhidmatan itu adalah satu inisiatif yang membanggakan, yang menawarkan lebih fleksibiliti dari segi laluan dan jadual.

Beliau berkata, perkhidmatan itu dijangka mengurangkan masa yang diambil untuk mengangkut barangan antara kedua-dua bandar itu, mengurangkan kos dan kesesakan lalu lintas serta pencemaran di jalan raya, selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pengarah TBP, Md Derick Basir, berkata perkongsian itu dapat meningkatkan sumber, kepakaran dan kejayaan keseluruhan projek sekali gus memupuk manfaat bersama untuk semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, usaha itu juga boleh memendekkan tempoh masa bagi melengkapkan seluruh proses kontena, pengurangan inventori kontena tidak aktif dan peningkatan kecekapan keseluruhan dalam rantaian logistik.

TBP mampu mengendalikan 50,000 TEU setahun dengan adanya infrastruktur sedia ada, katanya.

Pada peringkat awal, perkhidmatan penghantar akan menggunakan Pelabuhan Tanjung Bruas setiap minggu.

Selepas peningkatan jumlah kapal, kekerapan perkhidmatan penghantar akan ditingkatkan kepada dua atau tiga panggilan dalam seminggu tertakluk kepada permintaan pada masa hadapan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)