LONDON,. Platform media sosial TikTok akan membayar denda sebanyak £12.7 juta (US$16.8 juta) yang dikenakan oleh badan pengawas data United Kingdom (U
LONDON,. Platform media sosial TikTok akan membayar denda sebanyak £12.7 juta (US$16.8 juta) yang dikenakan oleh badan pengawas data United Kingdom (UK) selepas menggugurkan satu rayuannya, lapor PA Media/dpa.
Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO) mengenakan denda itu pada 2023 kerana TikTok “tidak berbuat secukupnya” bagi memastikan kanak-kanak bawah umur tidak menggunakan platform berkenaan dan memastikan data mereka digunakan dengan betul.
Pihak berkuasa menganggarkan sehingga 1.75 juta kanak-kanak UK berusia di bawah 13 tahun menggunakan TikTok pada 2020, walaupun ia bertentangan dengan peraturan syarikat bagi kanak-kanak lingkungan usia berkenaan untuk membuat akaun.
TikTok pada mulanya merayu terhadap denda berkenaan tetapi kini telah menggugurkan rayuannya, kata ICO, sekali gus bermakna penalti berkenaan perlu dijelaskan.
ICO juga memaklumkan bahawa TikTok telah menarik balik rayuan terhadap notis maklumat badan pengawas itu yang meminta butiran daripada syarikat berkenaan mengenai bagaimana ia memproses maklumat peribadi remaja berumur 13 hingga 17 tahun dalam sistem pengesyorannya
Rayuan itu sebelum ini menghalang ICO daripada meneruskan siasatan berhubung sistem berkenaan.
Sistem pengesyoran digunakan oleh platform media sosial untuk membuat profil pengguna dan mengesyorkan kandungan berdasarkan aktiviti dalam talian mereka.
Timbalan Pesuruhjaya ICO Emily Keaney berkata: “Bagaimana syarikat mereka bentuk perkhidmatan dalam talian dan menggunakan maklumat peribadi kanak-kanak memberikan impak signifikan kepada pengalaman golongan muda dalam dunia digital.
“Kejayaan tindakan kami terhadap TikTok menunjukkan betapa pentingnya syarikat mempunyai perlindungan yang betul, termasuk menghalang akses oleh kanak-kanak yang belum cukup umur untuk menggunakan perkhidmatan mereka.
“Kami sentiasa jelas bahawa pemprosesan ini bukan untuk tujuan khas, dan susulan keputusan Tribunal Atas, kami menyambut baik tindakan TikTok menarik balik rayuannya.”
Jurucakap TikTok berkata: “Walaupun kami tidak bersetuju dengan keputusan ICO pada 2023, dapatan itu adalah berkaitan tempoh lepas, iaitu Mei 2018 hingga Julai 2020, dan tidak mencerminkan pelbagai langkah serta dasar keselamatan belia yang telah kami laksanakan sejak itu.”
— BERNAMA-PA MEDIA/dpa

