TM diiktiraf antara syarikat terbaik untuk bekerja di Asia 2020
KUALA LUMPUR,. Telekom Malaysia Bhd (TM) dinobatkan sebagai antara Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2020 (edisi Malaysia) oleh Anugerah HR Asia berikutan usaha cemerlang menjaga kebajikan para pekerja.
TM turut menerima kejayaan berganda apabila meraih Anugerah WeCare: Syarikat Paling Prihatin HR Asia 2020 bagi inisiatif dan tindakan syarikat melindungi keselamatan dan memastikan kebajikan pekerja sepanjang pandemik COVID-19.
Dalam kenyataan pada Rabu, Pemangku Ketua Pegawai Modal Insannya, Norhamijah Mohd Hanafiah berkata, TM menghargai kejayaan merangkul bukan satu tetapi dua anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan pengurusan modal insan.
“Kami juga sedar bahawa warga TM adalah daya pemacu kejayaan dan pendorong syarikat untuk berfungsi sepenuhnya serta ke arah transformasi.
“Semua pengiktirafan ini adalah dedikasi terhadap kerja keras dan kesungguhan pekerja memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kami, masyarakat dan negara terutamanya ketika waktu mencabar ini,” katanya.
Menurut Norhamijah, bagi memastikan memastikan kebajikan terbaik untuk para pekerja, TM kini dalam proses menyusun semula tenaga kerja bagi mengamalkan budaya kerja secara tangkas dengan kemahiran persediaan masa hadapan ke arah memacu Digital Malaysia.
“Ini selaras dengan sokongan kami terhadap inisiatif-inisiatif pembinaan negara oleh kerajaan seperti MyDIGITAL dan pelan-pelan rangsangan yang lain bagi memacu pemulihan dan pertumbuhan sosioekonomi ketika pandemik dan tempoh seterusnya,” katanya.
— BERNAMA