UEM Edgenta catat keuntungan bersih lebih tinggi

UEM Edgenta catat keuntungan bersih lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. UEM Edgenta Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM181.78 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 (TK19) berbanding RM148.43 juta bagi tempoh sama sebelumnya.

Perolehannya turut menokok kepada RM2.41 bilion daripada RM2.18 bilion sebelum ini dengan sebahagian besar disumbangkan oleh segmen pengurusan aset dan perniagaan penyelesaian infrastruktur.

Menurutnya, bahagian perkhidmatan infrastruktur mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 3.8 peratus biar pun dalam persekitaran operasi semasa manakala bahagian perundingannya meraih pertumbuhan perolehan 15.6 peratus bagi tempoh sama.

Bagi TK19, UEM Edgenta turut merekodkan keuntungan sebanyak RM32.7 juta membabitkan pembayaran akhir bagi projeknya di Abu Dhabi.

Selain itu, bahagian sokongan penjagaan kesihatan syarikat itu turut mencatat peningkatan pertumbuhan 15 peratus bagi perolehan tahun penuh kepada RM1.1 bilion.

Sebahagian besar daripadanya disumbangkan oleh kejayaan meraih kontrak-kontrak baharu daripada tender di Singapura bagi perbekalan perkhidmatan sokongan bukan klinikal kepada pengumpulan semula hospital dalam kluster Kementerian Kesihatan republik itu.

Bagi suku keempat, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM97.49 juta daripada RM67.92 juta pada suku sama 2018 manakala hasil meningkat kepada RM712.26 juta daripada RM647.35 juta.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican berkata, UEM Edgenta mengakhiri TK19 dengan jumlah tempahan yang positif bagi kesemua bahagian perniagaannya dengan nilai kontrak dalam tangannya mencecah RM13.2 bilion.

Syarikat tersebut telah berjaya meraih kontrak baharu melebihi RM900 juta membabitkan hospital-hospital dalam kelompok semula Kementerian Kesihatan Singapura yang mana kira-kira RM650 juta meliputi hospital-hospital baharu yang sebelum ini tidak menggunakan khidmatnya.

Selain itu, perniagaan perundingan aset syarikat itu meneruskan tumpuan terhadap projek perundingan pengurusan infrastruktur jalan raya untuk kepentingan sosioekonomi di Malaysia Timur seperti projek Rangkaian Jalan Raya Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua di Sarawak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This