
UniSZA rancang adakan majlis konvokesyen secara maya
KUALA NERUS,. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merancang untuk melaksanakan majlis konvokesyen secara maya bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Naib Canselornya Prof Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata untuk tujuan itu, penggunaan robot iaitu ‘Naseem’ dan ‘Seebaa’ serta persidangan video secara langsung akan dijalankan bagi memaparkan upacara penganugerahan skrol kepada pelajar yang berada di tempat atau kediaman masing-masing.
Beliau berkata robot-robot tersebut telah dibangunkan sendiri oleh penyelidik UniSZA dan telah diuji pada gimik penganugerahan skrol di majlis konvokesyen ke-11 UniSZA tahun lalu dan mendapat reaksi luar biasa daripada orang ramai.
“Sekiranya majlis konvokensyen ke-12 yang dirancang pada akhir tahun ini tidak dapat dilangsungkan secara bersemuka, kita akan teruskan dengan kaedah maya sebagai sokongan kepada usaha mencegah penularan wabak COVID-19.
“Tuanku Canselor, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan dan dapat disaksikan oleh graduan melalui persidangan video walau di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
— BERNAMA