Veteran tentera reda cacat akibat jerangkap samar ketika buru komunis

KOTA BHARU,. Walaupun kehilangan kaki kiri separas buku lali, pesara tentera dari Kampung Setek, Kok Lanas dekat sini reda dengan kecacatan yang dialami akibat terkena jerangkap samar ketika operasi memburu komunis 44 tahun lepas.

Nekya Nor, 66, berkata dari satu segi, dia juga bersyukur kerana insiden itu menyelamatkan 14 lagi anggota kumpulannya yang terlibat dalam Operasi Daoyai Musnah di Gubil, Kedah pada 1976.

“Ketika kejadian, operasi baru sahaja memasuki tempoh sebulan. Sepanjang operasi kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi mengesan komunis.

“Sebelum kejadian, saya baru saja memulakan rondaan sejauh 300 meter selepas berhenti rehat dan ternampak kesan jerangkap samar,” katanya yang berkongsi kisah pengorbanannya bagi mengekalkan keamanan negara bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 hari ini, dengan Bernama di sini.

Menurutnya, dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada komander platun sebelum kembali ke posisi untuk memberitahu anggota lain dalam kumpulan.

“Ketika itulah saya tersilap langkah dan terpijak jerangkap samar tersebut. Namun saya hanya mendengar bunyi dentuman yang kuat dan saya terpelanting ke belakang,” kata bapa kepada lapan anak berusia 20 hingga 40 tahun tersebut.

Dia yang bersyukur kerana masih bernyawa selepas kejadian menghabiskan masa selama tiga bulan menerima rawatan di hospital di Alor Setar.

“Selepas itu, saya ditugaskan sebagai kerani dan saya pencen pada 1997,” katanya yang menasihati generasi muda khususnya agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan kaum bagi kemerdekaan dan kemakmuran yang dinikmati hasil pengorbanan pasukan keselamatan dahulu dapat dipertahankan. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )