
8 terbunuh, serangan di bar shisha
HANAU (JERMAN),. Sekurang-kurang lapan orang terbunuh dalam dua kejadian tembakan di sebuah bandar negara ini, berdekatan Frankfurt, semalam.
Polis memaklumkan, susulan itu, pasukan khas sedang memburu penyerang yang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Anggota keselamatan dilengkapi senjata, menutup dua jalan di bandar Hanau yang menyaksikan beberapa ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebuah helikopter polis kelihatan berlegar di ruang udara Hanau, iaitu bandar yang terletak di timur hab kewangan Frankfurt.
Namun, motif kejadian masih belum jelas. Media tempatan melaporkan, suspek melepaskan tembakan pada dua bar shisha di Hanau.
Penyerang kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian pertama dengan menaiki sebuah kereta berwarna gelap.
Polis sudah mewujudkan hotline untuk membolehkan orang ramai yang mempunyai maklumat, menyalurkannya bagi membantu usaha memberkas pelaku terbabit. REUTERS