Putera Harry, Meghan, Archie ke Afrika Selatan
JOHANNESBURG,. The Duke dan Duchess of Sussex dijangka tiba di Afrika Selatan bersama putera sulung Archie, dalam kunjungan rasmi pertama mereka sekeluarga, hari ini.
Pesawat komersil yang dinaiki Putera Harry, Meghan dan Archie dijangka mendarat di Cape Town dan akan berada di Afrika Selatan selama 10 hari.
Lawatan diraja itu akan dimulai dengan bengkel pendidikan di sekitar Cape Town, bandar yang cukup terkenal dengan jenayah gangsterisme.
Mereka kemudian akan ke muzium District Six, sebuah memorial mengenai pengusiran lebih 60,000 penduduk bukan kulit putih ketika era apartheid.
Sebahagian penduduk Afrika Selatan beranggapan kehadiran Meghan yang berdarah kacukan kulit hitam di sebelah ibunya, menjadikan kunjungan diraja ini lebih istimewa.
Kunjungan itu juga bakal menjadi kemunculan umum terbesar buat Archie yang dilahirkan Mei lalu. Kali terakhir Archie muncul di khalayak ramai adalah ketika pertandingan polo amal diraja Julai lalu.
Keluarga diraja itu akan bersama sehingga Rabu ini sebelum Harry terbang ke Botswana, Angola dan Malawi.
Mereka dijangka bertemu semula sekali gus mengakhiri lawatan 10 hari itu di Johannesburg dan pulang ke Britain pada 10 Oktober. – AFP