
PM Ukraine letak jawatan selepas rakaman audio kutuk Presiden bocor di media
MOSCOW,. Perdana Menteri Ukraine Oleksiy Honcharuk pada Jumaat mengumumkan peletakan jawatannya selepas rakaman audio yang mendakwa beliau telah mengkritik Presiden Volodymyr Zelensky bocor di media, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Pada Khamis, media Ukraine telah menyiarkan satu rakaman audio yang memperdengarkan suara mirip perdana menteri itu dan beberapa menteri lain sedang mengutuk Zelensky yang dikatakan tidak cekap dalam menangani isu-isu ekonomi.
“Saya dilantik ke jawatan ini bagi memenuhi program presiden. Bagi saya, beliau adalah seorang model bagi keterbukaan dan kesopanan. Bagaimanapun, bagi mengetepikan keraguan mengenai rasa hormat dan kepercayaan kami terhadap presiden, saya telah menulis surat peletakan jawatan dan menyerahkannya kepada presiden dengan hak untuk mengemukakannya kepada parlimen,” tulis Honcharuk dalam satu hantaran di Facebook.
Pejabat akhbar presiden mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan itu dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa ketua negara akan mengumumkan keputusannya kemudian.
Dalam rakaman audio itu, suara seorang lelaki yang mirip dengan Honcharuk berkata Zelensky mempunyai “satu pemahaman yang amat primitif terhadap proses-proses ekonomi” dan kemudian mengakui bahawa beliau juga tidak cekap dalam bidang itu kerana beliau adalah seorang peguam dan bukan ahli ekonomi.
Perkhidmatan akhbar kerajaan Ukraine berkata ia tidak memiliki data mengenai ketulenan rakaman itu dan mengesahkan peletakan jawatan perdana menteri tersebut.
— BERNAMA