Anggota EAS perlu tingkat kerjasama hadapi pandemik COVID-19 – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Malaysia menggesa anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk terus bekerjasama dan berganding bahu menangani kesan buruk yang dicetuskan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 2020 tahun yang penuh cabaran getir disebabkan pandemik yang sekali gus membawa perubahan ketara dalam kehidupan rakyat.

“Ia menuntut kemahuan politik dan komitmen jitu semua pihak. Sempena sambutan ulang tahun ke-15 EAS, mustahak bagi EAS menjadi forum penting kepada pemimpin untuk membentuk kerjasama merangkumi keselamatan politik dan ekonomi.

“Ketika negara kita menempuh detik sukar penuh gelora ini, amat penting bagi semua negara peserta EAS untuk terus membina jambatan bagi membolehkan kita mencapai kejayaan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak EAS ke-15, berlangsung Sabtu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37, dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Muhyiddin, yang mengetuai delegasi Malaysia berkata usaha membangunkan dan menghasilkan vaksin serta ubat antivirus kini dilihat sebagai kemestian untuk memastikan penularan COVID-19 dapat dicegah.

Selain itu katanya, menjadi keutamaan untuk memastikan vaksin berkenaan dapat dimiliki dengan harga berpatutan, mudah diakses dan tersedia untuk semua lapisan masyarakat.

“Persaingan tidak adil serta monopoli ubat antivirus dan vaksin COVID-19 perlu dicegah, sejajar dengan nilai sejagat iaitu hak untuk mendapatkan kesaksamaan kesihatan,” katanya.

Mengenai situasi Semenanjung Korea, beliau berkata Malaysia tetap konsisten dalam tiga perkara: Semenanjung Korea bebas senjata nuklear, patuh kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang relevan dan membuka semula pintu rundingan membabitkan pihak berkaitan.

EAS terdiri 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, dan Amerika Syarikat.

ASEAN, ditubuhkan pada 1967, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )