COVID-19 cetus ledakan kebergantungan bantuan kemanusiaan — ICRC

COVID-19 cetus ledakan kebergantungan bantuan kemanusiaan — ICRC

KUALA LUMPUR,. Kesulitan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 boleh mencetuskan ledakan kebergantungan bantuan di negara-negara yang mengalami konflik.

Menurut kajian terbaru Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), keadaan itu mendorong badan antarabangsa berkenaan merayu agar program perlindungan sosial dikekalkan atau diperluaskan, termasuk di negara paling terancam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Geneva pada Rabu, ICRC berkata tanpa tindakan bersepadu masyarakat global, pihaknya menjangkakan wabak COVID-19 akan mencetuskan keadaan lebih buruk dan menjadikan keperluan bantuan kemanusiaan sesuatu yang amat mendesak.

Ia mengatakan keperluan kesihatan dan perlindungan jangka pendek dan panjang yang baharu akan muncul, kerana jika tidak, komuniti yang sebelum ini sekadar mampu bertahan, terpaksa bergantung kepada bantuan.

“Kesan berterusan COVID-19 memberikan ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan makanan dari semasa ke semasa. Di negara yang dilanda konflik, jutaan orang hidup serba kekurangan.

“COVID-19 memburukkan lagi keadaan disebabkan kehilangan sumber pendapatan, kemiskinan serta kelaparan menjadi lebih teruk,” kata kenyataan itu.

Sebagai contoh, di Nigeria, 95 peratus dari 313 responden, ICRC mendapati punca rezeki mereka terjejas kerana COVID-19 sementara di Iraq 83 peratus (daripada 130 orang); dan di Libya, 52 peratus (daripada 190 orang).

Tinjauan itu juga menunjukkan 77 peratus responden di Iraq ketika ditemu bual mengatakan mereka tidak mempunyai simpanan untuk mendepani krisis, sementara 85 peratus di Libya dan 48 peratus di Nigeria.

Justeru itu, ICRC berharap program perlindungan sosial terus diperkukuh atau diperluaskan, terutamanya di negara paling teruk terjejas.

Tumpuan perlu diberikan kepada keperluan kemanusiaan yang mendesak seperti keselamatan makanan, nutrisi dan kualiti kehidupan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)