JDT julang trofi Liga Super dalam acara gilang-gemilang

JDT julang trofi Liga Super dalam acara gilang-gemilang

ISKANDAR PUTERI,. Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang trofi kejuaraan Liga Super 2022 kali kesembilan dalam sambutan gilang-gemilang di hadapan kira-kira 35,000 penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam Sabtu.

Stadium keramat Skuad Harimau Selatan diterangi percikan bunga api dan persembahan cahaya laser berwarna-warni selain persembahan artis antarabangsa Jason Derulo.

Detik memukau itu berlaku sejurus Kapten Pasukan JDT Mohd Farizal Marlias bersama Ketua Jurulatih Hector Bidoglio menjulang piala berprestij berkenaan sebelum disusuli sorakan rakan sepasukan.

Momen bersejarah itu disaksikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan.

Turut berkenan menyaksikan aksi terakhir Liga Super menentang Sabah dan sambutan malam ini ialah pemilik JDT Tunku mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi dominan musim ini dengan mengumpul 56 mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 22 perlawanan.

Sambutan meraikan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut itu turut menampilkan pasukan JDT II, atlet cemerlang Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Akademi JDT, Pasukan Hoki Ais JDT, Johor Jewels (Bola Jaring), Johor Tigris (Sepak Takraw) dan pemain ragbi negeri.

JDT II memenangi Liga Premier 2022 manakala kontinjen Sukma Johor 2022 muncul juara keseluruhan buat kali pertama dalam sejarah 36 tahun temasya Sukma dianjurkan.

Pasukan Hoki Ais JDT memenangi Weekend Warriors League; Johor Jewels membawa pulang Sooka Netball Super League; Johor Tigris menjuarai Piala Tun Ali manakala skuad ragbi memenangi empat kejohanan peringkat umur.

Juara Liga Super diberikan slot automatik ke saingan Liga Juara Juara AFC 2023 (ACL), manakala naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia berpeluang beraksi dalam saingan Piala AFC 2023. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)