Kebimbangan perniagaan pasca-moratorium akan boleh urus – CGC

Kebimbangan perniagaan pasca-moratorium akan boleh urus – CGC

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) yakin kebimbangan perniagaan yang dijangkakan sebaik sahaja tempoh moratorium selama enam bulan berakhir 30 Sept ini akan boleh urus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata akan wujud beberapa petanda kebimbangan dalam kalangan perniagaan apabila tempoh moratorium berakhir namun situasi itu boleh diuruskan memandangkan isu berkaitan telah dikurangkan dengan baik setakat ini.

“Ini kerana pemegang kepentingan seperti bank dan CGC telah mendapatkan pelanggan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membincangkan pendekatan bagi mengharungi tempoh ini,” katanya kepada pemberita di luar Anugerah PKS dan Institusi Kewangan kali ke-25 anjuran CGC di sini, hari ini.

Beliau berkata sejak Jun 2020, CGC telah menghubungi lebih 35,000 pelanggan untuk membincangkan pembayaran balik mereka selepas tempoh moratorium menyeluruh berakhir.

“Sebilangan pelanggan telah menghubungi kami untuk membincangkan pilihan kelonggaran seperti penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman serta pembiayaan mereka,” katanya.

Mohd Zamree berkata CGC telah menghubungi kesemua 3,044 pelanggan pembiayaan langsungnya.

Beliau berkata jumlah libat urus dengan pelanggannya meningkat ketara bulan ini dan dijangka semakin bertambah sehingga akhir tahun ini.

CGC, merupakan penjamin perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (MPKS), setakat ini telah mengeluarkan lebih 35,000 surat untuk jaminan CGC bernilai RM9.6 bilion, katanya.

Beliau berkata kaedah baharu bagi menilai pemohon akan diperkenalkan dalam tempoh akhir tahun ini hingga suku pertama 2021.

Kaedah penilaian itu adalah berasaskan kesediaan pemohon membayar semula pinjaman atau pembiayaan mereka berbanding penilaian ke atas kemampuan pemohon membayar balik berdasarkan rekod kewangan terdahulu, katanya.

“Pada masa ini kami menjalankan ujian psikometrik dan akan mula menggunakan kaedah baharu tersebut secara rintis mulai akhir tahun hingga suku pertama tahun depan. Ini melibatkan 400 hingga 600 perniagaan mikro,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)