Ketua Menteri Sabah: BN hormati keputusan mencalonkan Hajiji

Ketua Menteri Sabah: BN hormati keputusan mencalonkan Hajiji

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Barisan Nasional (BN) menghormati autonomi UMNO Sabah, yang dipersetujui bersama dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), untuk mencalonkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor, sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa keputusan itu dibuat, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, setelah rundingan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah yang menang (Pilihan Raya Negeri Sabah), akhirnya bersepakat mencalonkan Datuk Hajiji Noor.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi UMNO Sabah, yang telah pun dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berharap semoga kerajaan negeri Sabah yang baharu itu, dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda bagi membela kepentingan rakyat negeri berkenaan, sebagaimana termaktub dalam aku janji GRS.

Sebelum ini, Ahmad Zahid bertegas bahawa jawatan Ketua Menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada UMNO, sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi DUN terbesar dalam GRS.

GRS adalah gabungan parti PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

PN merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lepas, UMNO/BN memenangi 14 kerusi, Bersatu (11), Parti Solidariti Tanah Airku (Star- enam) dan Parti Bersatu Sabah (PBS- tujuh).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )