MIMOS, QUANTROPI JALIN KERJASAMA PERKASA KESELAMATAN SIBER ANCAMAN KUANTUM DI MALAYSIA

HomeFeaturedBerita Semasa

MIMOS, QUANTROPI JALIN KERJASAMA PERKASA KESELAMATAN SIBER ANCAMAN KUANTUM DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR,. MIMOS Bhd (MIMOS) dan syarikat keselamatan siber Kanada Quantropi Inc (Quantropi) hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mempe

MCMC lawat 359 premis peranti komunikasi, beri penerangan tentang keperluan label MCMC
Pameran Mainan Seni Asli Hong Kong Berskala Besar yang Pertama di Malaysia
Ahmad Badri dilantik Pengerusi Felda baharu

KUALA LUMPUR,. MIMOS Bhd (MIMOS) dan syarikat keselamatan siber Kanada Quantropi Inc (Quantropi) hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mempercepat penilaian, penggunaan dan pengkomersialan teknologi keselamatan siber ancaman kuantum di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua organisasi memaklumkan kerjasama itu menggabungkan keupayaan MIMOS dalam teknologi kuantum, keselamatan siber dan pengagihan kunci kuantum dengan penyelesaian Pengagihan Kunci Selamat Kuantum (QSKD) serta teknologi keselamatan siber ancaman kuantum milik Quantropi.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua organisasi telah menjalankan penilaian teknikal awal dan aktiviti percubaan, sekali gus meletakkan asas bagi kerjasama yang lebih mendalam untuk mengguna pakai, mengintegrasikan dan membangunkan teknologi yang selamat daripada ancaman kuantum, disesuaikan dengan keperluan keselamatan siber Malaysia yang terus berkembang.

Kenyataan itu memaklumkan di bawah Perjanjian Kerjasama Strategik, MIMOS dan Quantropi akan bersama-sama mengenal pasti serta membangunkan aplikasi berpotensi, melibatkan ekosistem pasaran, menilai kes penggunaan, membangunkan projek bukti konsep serta meneroka peluang untuk penggunaan secara komersial dan pembangunan teknologi.

“Kerjasama MIMOS-Quantropi ini direka bentuk untuk menangani peralihan berkenaan dengan menggabungkan inovasi keselamatan siber ancaman kuantum antarabangsa dengan kepakaran teknikal, integrasi dan pasaran Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Berhad Dr Saat Shukri Embong berkata Malaysia sedang membangunkan keupayaan penting dalam teknologi kuantum dan keselamatan siber bagi memperkukuh daya tahan digital negara.

“Kerjasama ini mewujudkan peluang untuk menterjemahkan keupayaan berkenaan kepada aplikasi yang selamat daripada ancaman kuantum yang praktikal dan dapat memperkukuh daya tahan digital Malaysia.

“Dengan menggabungkan kepakaran teknologi dan integrasi tempatan MIMOS dengan teknologi QSKD Quantropi, kami boleh bersama-sama menilai kes penggunaan dunia sebenar dan mewujudkan laluan ke arah penerapan teknologi berkenaan merentasi sektor-sektor yang mempunyai kepentingan strategik,” katanya.

Beliau berkata penggabungan pengkomersialan dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) amat penting kerana ia membolehkan kedua-dua pihak melihat melangkaui penerapan teknologi sedia ada dan meneroka bagaimana kerjasama itu dapat menyumbang kepada keupayaan selamat daripada ancaman kuantum jangka panjang Malaysia.

Menurut beliau, nilai akhirnya terletak pada usaha membina pengetahuan, bakat dan teknologi tempatan bagi memperkukuh daya tahan organisasi di Malaysia ketika mereka membuat persediaan menghadapi cabaran keselamatan siber generasi akan datang.

Dalam pada itu, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Quantropi James Nguyen berkata kerjasama itu adalah langkah penting dalam memperluas akses kepada penyelesaian keselamatan siber ancaman kuantum yang praktikal.

“MIMOS mempunyai kepakaran teknikal yang mendalam, keupayaan kukuh dalam teknologi kuantum dan keselamatan siber, serta pemahaman penting mengenai pasaran Malaysia.

“Bersama-sama, kami berpeluang untuk bergerak melangkaui perbincangan mengenai ancaman kuantum dan menunjukkan bagaimana teknologi yang selamat daripada ancaman kuantum boleh diintegrasikan ke dalam persekitaran dunia sebenar pada masa ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, fokus utama kerjasama berkenaan adalah penyelesaian QSKD milik Quantropi, yang menyediakan pendekatan berasaskan perisian untuk penghantaran kunci secara selamat melalui infrastruktur digital sedia ada, sekali gus membolehkan organisasi menambah perlindungan daripada ancaman kuantum tanpa memerlukan perkakasan atau rangkaian gentian khusus.

— BERNAMA