MSU; Telah Menganjurkan SDG ESG Synergy Symposium  “Leading Change for People,and Prosperity”

HomeFeaturedBerita Semasa

MSU; Telah Menganjurkan SDG ESG Synergy Symposium “Leading Change for People,and Prosperity”

SHAH ALAM,. Management and Science University (MSU) memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembangunan mampan menerusi penganjuran SDG ESG Synergy Sy

Negara perlu lebih tegas pertahankan perdagangan bebas
BAKAT MUDA MENYINAR: MALAYSIA BOLEH BERBANGGA PENCAPAIAN DI WORLDSKILLS SHANGHAI 2026
Pemuda terima ganti rugi RM7.4 juta atas kecuaian perubatan

SHAH ALAM,. Management and Science University (MSU) memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembangunan mampan menerusi penganjuran SDG ESG Synergy Symposium: “Leading Change for People, Planet and Prosperity” pada 3 dan 4 September lalu.

Dianjurkan dengan kerjasama Times Higher Education (THE), simposium dua hari itu berlangsung di Performing Arts Theatre (PAT), kampus utama MSU, Shah Alam, dengan menghimpunkan pemimpin dan pakar daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta antarabangsa, kerajaan, industri dan pelbagai pihak berkepentingan.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada bagaimana Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat digabungkan bagi memacu perubahan yang bermakna serta mampan.

Selain itu, simposium tersebut turut membincangkan peningkatan permintaan terhadap kompetensi berkaitan ESG serta peranan universiti dan industri dalam menyediakan graduan untuk menghadapi alam pekerjaan yang semakin memberi penekanan terhadap kelestarian.

Menurut MSU, komitmennya terhadap agenda berkenaan dapat dilihat menerusi 950 inisiatif berkaitan SDG yang direkodkan antara 2022 hingga 2025, termasuk 81 projek antarabangsa dan 92,000 penglibatan komuniti.

Dalam tempoh yang sama, menerusi Community Outreach Programme (COP), MSU turut memberi sokongan kepada 2,408 keluarga antara 2023 hingga 2025, manakala Yayasan MSU terus menyediakan biasiswa berjumlah RM50 juta setiap tahun bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.

Usaha kemasyarakatan universiti itu turut merangkumi program vaksinasi COVID-19 yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 individu pada 2021.

Simposium berkenaan dirasmikan Presiden dan Pengasas MSU Prof Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid, dan turut dihadiri Pro Canselor MSU Prof Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang yang menyumbang dalam sesi berkaitan tadbir urus untuk impak.

Antara penceramah lain ialah Presiden Times Higher Education bagi rantau Asia Pasifik Mei Mei Lim, Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Shireen Jasmin Ali, Pengarah Urusan Strategi dan Operasi Kumpulan AFFIN Jozaimah Johan Ali, Pengarah Eksekutif Tanggungjawab Sosial dan Penglibatan Sivik University of Manchester Dr Julian Skyrme serta Pro Naib Canselor Western Sydney University Prof Dr Amir Mahmood.

Turut menyumbang dalam simposium itu ialah Naib Presiden Penyelidikan MSU Prof Dr Norfilza Mohd Mokhtar dan Naib Presiden Kanan Hubungan Industri dan Keusahawanan MSU Prof Dr Abdul Jalil Ghazali, selain pakar kelestarian dan tadbir urus daripada Universiti Sains Malaysia, sektor kesihatan serta pihak berkuasa tempatan.

Program yang berteraskan subtema amalan ESG, impak alam sekitar, impak sosial dan impak tadbir urus itu menampilkan sesi tadbir urus untuk impak, sesi pleno kelestarian, segmen impak sosial dan alam sekitar serta perbincangan meja bulat.

Komitmen MSU terhadap agenda kelestarian turut dizahirkan menerusi pencapaian terbaiknya dalam Times Higher Education Sustainability Impact Rankings 2026, apabila universiti itu menduduki tempat ke-88 dunia.

MSU turut berada di kedudukan ketiga dunia bagi SDG 5: Kesaksamaan Gender, ke-29 bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti, ke-39 bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan dan ke-66 bagi SDG 17: Kerjasama untuk Matlamat.

Pencapaian tersebut, menurut MSU, mencerminkan sumbangan pengajaran, penyelidikan, amalan institusi dan penglibatan komuniti universiti dalam menyokong pembangunan mampan.

Pada masa sama, penganjuran simposium itu turut mengetengahkan kekuatan MSU dalam pendidikan holistik, penyelidikan gunaan, hubungan industri, keusahawanan dan kerjasama antarabangsa.

— GERBANGPOST