IRAN ANCAM SEKATAN MARITIM TERHADAP KAPAL MASUK ZON BAHARU TANPA KEBENARAN

HomeFeaturedBerita Semasa

IRAN ANCAM SEKATAN MARITIM TERHADAP KAPAL MASUK ZON BAHARU TANPA KEBENARAN

ISTANBUL,. Iran pada Rabu memberi amaran bahawa kapal musuh dan kapal komersial yang memasuki zon maritim yang baru ditetapkan tanpa kebenaran Tehran

MALAYSIA AIRLINES SAMBUNG SEMULA PENERBANGAN JAKARTA SECARA BERPERINGKAT, LIMA MASIH BATAL
NRES teliti akta khusus tangani jerebu rentas sempadan
INSIDEN VIRGO TRANSPORT 8: INDONESIA ATUR GERAK KRI CANOPUS, DRON BAWAH AIR KESAN MANGSA

ISTANBUL,. Iran pada Rabu memberi amaran bahawa kapal musuh dan kapal komersial yang memasuki zon maritim yang baru ditetapkan tanpa kebenaran Tehran akan dikenakan sekatan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Iran.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Hossein Mohibi berkata mana-mana kapal musuh atau kapal komersial yang memasuki kawasan itu tanpa penyelarasan dengan pihak berkuasa Iran akan dimasukkan dalam senarai sekatan, menurut Agensi Berita Fars separa rasmi.

Beliau berkata langkah itu bermakna Iran akan menghentikan penyediaan perkhidmatan maritim, insurans dan sokongan kepada kapal berkenaan, dan kapal itu akan terus dilarang menerima perkhidmatan tersebut walaupun kemudiannya melalui Selat Hormuz.

Kenyataan itu menyusuli pengumuman Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran Mohsen Rezaei bahawa Tehran akan mengisytiharkan zon larangan baharu di luar selat berkenaan.

Rezaei berkata zon itu akan bermula dari kawasan yang disifatkan Tehran sebagai “garisan sekatan” Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan meliputi sebahagian Teluk Arab.

Beliau berkata mana-mana kapal yang memasuki zon baharu itu tanpa kebenaran Iran dengan tujuan melalui Selat Hormuz akan dimasukkan dalam senarai sekatan negara itu.

Dalam kenyataan berasingan kepada Student News Network Iran, Mohibi berkata walaupun pertempuran dengan “kuasa besar yang kelihatan paling berpengaruh” di dunia telah berakhir pada peringkat tertentu, “sifat peperangan itu masih berterusan”.

Beliau mendakwa perang itu buat pertama kali menyebabkan “kerosakan strategik” secara langsung kepada AS serta menjejaskan pertimbangan keselamatan dan ekonominya.

Mohibi berkata sekiranya pihak musuh mahu keadaan itu berakhir, mereka mesti menghentikan perang sepenuhnya dan tidak lagi membuat ancaman baharu.

Beliau turut menyenaraikan beberapa tuntutan lain termasuk pengunduran tentera Israel dari Lubnan, penamatan sekatan terhadap Yaman, pembebasan aset Iran bernilai US$24 bilion yang dibekukan serta penghentian campur tangan terhadap keupayaan nuklear dan peluru berpandu Iran.

“Kita sudah sampai ke tahap apabila pihak musuh menyerang dua atau tiga sasaran kita, kita bertindak balas dengan tegas terhadap 20 sasaran,” kata Mohibi.

Kenyataan itu dibuat ketika permusuhan antara AS dan Iran berterusan serta ketegangan maritim meningkat di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya.

Terdahulu pada Rabu, IRGC memaklumkan bahawa pasukan tentera lautnya menyasarkan dua kapal AS dan lapan kapal tangki minyak sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika ke atas lima kapal tangki minyak Iran.

Selat Hormuz menjadi antara lokasi utama ketegangan dalam konflik itu, dengan Tehran terus mengenakan sekatan terhadap trafik maritim dan menuntut kapal menyelaraskan laluan mereka dengan pihak berkuasa Iran.

— BERNAMA-ANADOLU