KUALA LUMPUR,. Pencarum yang kehilangan pekerjaan mulai 1 Oktober dan memenuhi syarat kelayakan boleh memohon faedah di bawah Akta Sistem Insurans Pek
KUALA LUMPUR,. Pencarum yang kehilangan pekerjaan mulai 1 Oktober dan memenuhi syarat kelayakan boleh memohon faedah di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) pada kadar baharu yang berkuat kuasa mulai tarikh tersebut.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, pindaan Akta 800 memperkenalkan tiga penambahbaikan faedah, termasuk peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), berbanding 25 peratus sebelum ini.
Penambahbaikan itu, yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu, dijangka memanfaatkan lebih tujuh juta pencarum selain membantu merancakkan pasaran buruh negara dan mempercepatkan tempoh peralihan kerjaya.
Had maksimum Fi Latihan turut dinaikkan kepada RM7,000 daripada RM4,000, manakala Elaun Latihan ditingkatkan kepada RM30 sehari.
Pindaan itu juga memperkenalkan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan, menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan kemudiannya mendapat pekerjaan baharu di lokasi yang melebihi 100 kilometer dari tempat kediaman.
PERKESO berkata pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh mengemukakan permohonan faedah berkenaan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Kerjaya atau di mana-mana kaunter PERKESO berhampiran.
Menurutnya, reformasi berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh jaringan perlindungan sosial dalam menghadapi perubahan pasaran buruh, malah turut disokong mekanisme peralihan kerjaya secara menyeluruh.
Ini merangkumi perkhidmatan pemadanan kerjaya melalui portal pekerjaan negara MYFutureJobs, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula, peningkatan kemahiran dan sokongan mobiliti bagi membantu memastikan kelangsungan sosioekonomi masyarakat.
PERKESO berkata, pihaknya akan terus memperkukuh fungsi MYFutureJobs dengan memanfaatkan data dan maklumat pasaran buruh bagi membantu pencarum mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman serta keperluan industri.
“Pendekatan ini penting supaya tempoh peralihan kerjaya berupaya disegerakan, manakala kemahiran yang dimiliki terus relevan dengan permintaan majikan dan perubahan struktur ekonomi,” katanya.
Pindaan Akta 800 yang sebelum ini dikenali sebagai Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 mendapat Perkenan Diraja pada 30 Ogos 2026 dan diwartakan pada 15 September lalu.
PERKESO berkata, pindaan itu melengkapkan agenda Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh perlindungan sosial secara lebih menyeluruh, selari dengan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam pada 1 Jun lalu yang turut meliputi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.
Katanya, PERKESO kekal komited memastikan perlindungan sosial bergerak seiring perubahan dunia pekerjaan dengan bukan sahaja membantu pencarum ketika kehilangan pekerjaan, tetapi turut memastikan mereka mempunyai kemahiran, peluang dan sokongan untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.
SUMBER; PERKESO
— GERBANGPOST

