SINGAPURA,. Singapura memperkukuh langkah perlindungan terhadap kecerdasan buatan (AI) berikutan teknologi itu yang menjadi semakin berupaya dan berau
SINGAPURA,. Singapura memperkukuh langkah perlindungan terhadap kecerdasan buatan (AI) berikutan teknologi itu yang menjadi semakin berupaya dan berautonomi, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo.
Beliau berkata kemajuan pesat AI mencetuskan kebimbangan yang kian meningkat, termasuk dalam kalangan pembangun AI terkemuka berhubung risiko yang mungkin timbul.
“Semakin besar potensi impak sesuatu tindakan berteraskan AI, semakin kukuh perlindungan dan pengawasan manusia yang diperlukan.
Dalam kata lain, sebagaimana penyerang boleh menggunakan AI, begitu juga pihak pertahanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Teo berkata langkah perlindungan menjadi semakin penting apabila model AI diserap ke dalam sistem secara dalaman, sekali gus memberi akses kepada data, peralatan dan proses.
Menurut Teo, Singapura baru-baru ini menyertai gesaan yang dipimpin Norway dan Finland bagi menuntut perlindungan lebih kukuh terhadap model AI terhadapan, selain menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa bagi mewujudkan peraturan dan perlindungan bersama untuk AI.
“Sama ada kebimbangan itu melibatkan penyalahgunaan secara sengaja atau tindakan tidak disengajakan oleh AI yang semakin berautonomi, satu langkah perlindungan sahaja tidak akan mencukupi.
Kita memerlukan pendekatan berbilang lapisan yang merangkumi pertahanan siber lebih kukuh, had yang jelas terhadap keupayaan AI, pengawasan manusia yang bersesuaian, serta keupayaan untuk menguji, memantau dan belajar seiring dengan perkembangan teknologi ini,” katanya.
— BERNAMA

