Penerbangan bawa pelajar IPT pulang ke Sabah beroperasi semula esok

Penerbangan bawa pelajar IPT pulang ke Sabah beroperasi semula esok

KOTA KINABALU, 19 Mei — Penerbangan membawa pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke Sabah akan bersambung semula esok selepas ditangguhkan sejak semalam (Isnin).

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob berkata sebanyak empat penerbangan dari Kuala Lumpur dan Sarawak akan tiba esok, membawa pulang 1,027 pelajar.

Ini akan diikuti empat lagi penerbangan pada Khamis, melibatkan 906 pelajar, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penerbangan seterusnya dijadualkan pada 27 dan 28 Mei ini manakala tarikh penerbangan berikutnya akan diberitahu kemudian.

Sebelum ini dilaporkan penerbangan membawa pulang penuntut IPT ke Sabah ditangguhkan sementara bagi menyusun kemasukan pelajar ke pusat kuarantin.

Sementara itu, Yusof berkata walaupun hasrat kerajaan negeri adalah membawa pulang semua pelajar sebelum sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan, perkara tersebut tidak dapat direalisasikan berikutan kekangan pusat kuarantin dan keperluan memenuhi prosedur operasi standard Jabatan Kesihatan Sabah.

“Kepada pelajar yang belum sampai giliran balik ke kampung dalam jadual penerbangan sebelum Hari Raya dan Pesta Kaamatan, diminta bersabar dan bertenang di kediaman masing-masing. Adalah penting para pelajar semua balik ke rumah dalam keadaan benar-benar sihat agar tidak menjejaskan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berkata kerajaan Sabah berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bersetuju dengan cadangan agar semua pelajar IPT Sabah menjalani persampelan COVID-19 terlebih dahulu sebelum kembali ke negeri ini.

Keputusan itu merupakan jalan terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan dan kesesakan pusat kuarantin di Sabah kerana pelajar yang balik dengan keputusan ujian COVID-19 negatif akan dibenarkan meneruskan baki tempoh kuarantin di rumah masing-masing, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This