PENJANA: Majikan perlu guna bantuan kewangan sebaiknya demi kepentingan pekerja

PENJANA: Majikan perlu guna bantuan kewangan sebaiknya demi kepentingan pekerja

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Integriti dan keikhlasan majikan memainkan peranan penting dalam menguruskan dengan holistik dan adil bantuan kewangan yang bakal diterima oleh syarikat-syarikat menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebagai insentif untuk mengambil atau mengekalkan pekerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata majikan yang menerima dana itu daripada kerajaan tidak boleh menyimpang daripada matlamat dana iaitu mengambil atau mengekalkan pekerja.

“Inisiatif kewangan ini untuk membantu syarikat agar bertahan dalam situasi yang mencabar susulan COVID-19 ini dan paling penting mengekalkan pekerja-pekerja mereka. Majikan perlu ikhlas untuk memastikan mereka tidak memberhentikan pekerja mereka apabila mendapat dana berkenaan.

“Lagipun, kalau kita lepaskan pekerja yang sudah terlatih dan jika keadaan ekonomi kembali pulih, jadi syarikat terpaksa melalui semula proses pengambilan pekerja, majikan juga perlu latih pekerja baharu dan ini akan menelan belanja,” katanya kepada Bernama.

Shamsuddin berkata adalah wajar kerajaan memberikan kepercayaan kepada majikan atau syarikat dalam menguruskan dana yang diberikan dan tiada keperluan untuk menubuhkan badan pemantau bagi mengawal dana itu dengan tindakan tetap boleh diambil melalui mekanisme sedia ada terhadap majikan yang ingkar.

“Sebagai contoh, majikan menamakan seramai 100 orang untuk menerima subsidi gaji melalui dana itu dan kemudian mereka didapati memberhentikan salah seorang atau sebahagian pekerja, ia jelas menyalahi undang-undang. Dalam hal ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerja (SIP) boleh ambil tindakan terhadap syarikat terbabit,” katanya.

Beliau menyifatkan inisiatif melalui PENJANA itu sebagai langkah tepat untuk memulihkan ekonomi secara beransur-ansur terutama sektor pelancongan kerana ia merupakan perkhidmatan paling terjejas susulan pandemik COVID-19.

Antara cabaran lain berkaitan adalah trend permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang rendah kerana rakyat tidak begitu yakin untuk berbelanja terutama apabila pekerjaan mereka tidak terjamin dalam ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Penganalisis Bebas Ekonomi Dr Baayah Baba menyifatkan inisiatif kewangan kepada majikan itu perlu dimanfaatkan oleh sektor pembuatan atau kilang yang sebelum ini terjejas teruk kerana kurang permintaan terhadap barangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata dengan perluasan Program Subsidi Upah iaitu dengan pelanjutan subsidi upah selama tiga bulan lagi pada kadar RM600 sebulan bagi setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat sangat praktikal bagi membantu majikan menguruskan gaji pekerja masing-masing.

“Kalau kita lihat ketika ketidaktentuan ekonomi ini, orang ramai lebih berbelanja barangan keperluan sahaja berbanding membeli perabot misalnya, jadi apabila kerajaan mengumumkan insiatif kewangan ini, sektor yang terjejas perlu ambil peluang menggerakkan semula perniagaan mereka.

“Saya yakin inisiatif yang diberikan kerajaan itu dapat membantu majikan untuk terus mengambil dan membantu majikan membayar gaji pekerja. Saya percaya dengan usaha ini, syarikat terlibat juga boleh pulihkan penjualan barangan mereka dan melancarkan pengurusan syarikat,” katanya.

Baayah berkata majikan yang menerima dana bantuan daripada kerajaan ini perlu bersikap jujur dan telus bagi bersama-sama merancakkan semula ekonomi negara.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion dan Program Insentif Pengambilan Pekerja (RM1.5 bilion) di bawah PENJANA, yang bakal memanfaatkan sejumlah tiga juta tenaga kerja.

Usaha kerajaan itu adalah bagi mengatasi pengangguran di negara ini yang dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun ini.

Kedua-dua program itu yang akan dilaksanakan sehingga Disember 2020 akan turut menyaksikan golongan belia terlibat menerima elaun sebanyak RM600 sebulan, penggangur bawah 40 tahun akan dapat RM800 sebulan, penggangur atas 40 tahun RM1,000 sebulan, penggangur OKU terima RM1,000 sebulan, kesemuanya untuk tempoh maksimum enam bulan. Selain itu turut disediakan elaun latihan sebanyak RM4,000 bagi mereka yang hilang pekerjaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )