Peruntukan khas PENJANA beri nafas baharu kepada PKS – MDEC

Peruntukan khas PENJANA beri nafas baharu kepada PKS – MDEC

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Peruntukan khas yang diberikan menerusi PENJANA akan memberi nafas baharu kepada lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro tempatan untuk berkembang dalam persekitaran ekonomi digital menerusi latihan yang bakal disediakan, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya Surina Shukri berkata kerajaan telah memberi penekanan menerusi langkah digital untuk memastikan perniagaan PKS terus bertahan di sebalik impak pandemik COVID-19.

“Peruntukan khas untuk mendigitalkan PKS dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor e-dagang bakal menyaksikan sumbangan pertumbuhan sebanyak 20 peratus terhadap ekonomi digital pada tahun ini, berdasarkan unjuran Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan walaupun dengan norma baharu yang dibawa oleh Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Surina berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang memberi tumpuan penting bagi meningkatkan dan meransang daya tahan ekonomi digital negara dan seterusnya membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menerusi pengumuman tersebut, Muhyiddin berkata pakej keseluruhan bernilai RM36 bilion itu mempunyai tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Surina berkata MDEC yakin unjuran berkenaan mampu dicapai dengan pelaksanaan pakej PENJANA.

“Peruntukan sebanyak RM25 juta diberikan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan untuk memberi latihan kepada rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan melalui tugasan platform dalam talian merupakan satu inisiatif yang tepat pada masa ini,” tambahnya.

Pada masa sama, MDEC turut diberi tanggungjawab bersama MYCreative Ventures dan pihak swasta bagi merencanakan pelan pemulihan industri hiburan, kreatif dan acara untuk bangkit semula menerusi peruntukan sebanyak RM225 juta selepas majoriti aktiviti sektor berkenaan terhenti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, katanya, MDEC akan menyokong agensi kerajaan lain bagi menjayakan kempen ‘Shop Malaysia Online’ untuk menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian yang mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang melibatkan peruntukan RM70 juta.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )