Program Bantuan Bakul Makanan Rakyat Sabah diitambah Baik

KOTA KINABALU, 29 Okt — Kerajaan negeri Sabah kini dalam proses menambah baik Bantuan Bakul Makanan bagi memastikan program itu benar-benar dapat membantu rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya berkata mekanisme agihan adalah antara penambahbaikan penting bagi memastikan proses agihan dapat dilakukan dengan pantas dan lancar.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mewujudkan pusat agihan terutama di kawasan berisiko tinggi COVID-19, dan keperluan itu dilihat lebih mendesak berbanding di kawasan lain.

“Kandungan bakul makanan juga akan diubah suai dengan memasukkan susu bayi atau bijirin Nestum mengikut keperluan atau kesesuaian penerima di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun dilapor berkata kerajaan negeri secara prinsip bersetuju memperluaskan Bantuan Bakul Makanan kepada penduduk yang tidak terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan diberi arahan kuarantin.

Bernama juga melaporkan maklum balas rakyat meminta kerajaan negeri untuk menambah baik program Bantuan Bakul Makanan bagi memastikan bantuan itu dapat sampai kepada golongan sasar secara menyeluruh.

Shahelmy berkata badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, parti politik atau individu yang ingin memberi sumbangan kepada program Bantuan Bakul Makanan diminta menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah terlibat.

“PKOB daerah akan membuat penyelarasan bersama jabatan atau agensi berkaitan sehari sebelum penyaluran sumbangan dengan memberi maklumat mengenai jenis bantuan, bilangan penerima, lokasi agihan dan jadual penghantaran.

“Kita mohon jenis bantuan barangan kering dan bermasak sahaja dan dua wakil penyumbang dibenarkan turut serta untuk agihan dengan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan wajib dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata sebagai garis panduan, kadar RM100 ditetapkan sebagai harga asas setiap bakul makanan yang hendak diberikan, namun harga sebenar akan diputuskan di peringkat PKOB daerah masing-masing.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )