PUTRAJAYA,. Proses pengeluaran MyKad generasi baharu hari ini lancar dengan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, kata Pengarah Bahagia
PUTRAJAYA,. Proses pengeluaran MyKad generasi baharu hari ini lancar dengan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, kata Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Muhammad Asraf Sukadi.
Beliau berkata bagi operasi di JPN Putrajaya, proses penukaran kad meningkat kepada lebih 300 pemohon pada waktu pagi berbanding 100 pemohon pada hari biasa.
“Sambutan agak memberangsangkan. Ramai iaitu lebih daripada biasa. Pagi ini sahaja pun nombor (pendaftaran) 300 lebih dan ramai yang menunggu (MyKad baharu).
“Alhamdulillah (tiada masalah) setakat ini semua (lancar). Kalau di JPN Putrajaya, dalam tempoh 30 minit dah dapat MyKad baharu kalau tidak ada masalah manakala bagi kanak-kanak 12 tahun, purata dalam satu jam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan pengeluaran MyKad generasi baharu di sini hari ini.
Muhammad Asraf berkata orang ramai memberikan maklum balas positif berkaitan MyKad ini.
Mengenai kod QR di MyKad itu, beliau berkata kod berkenaan hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa sahaja sekali gus membuktikan aspek keselamatannya berada pada tahap tertinggi.
“Kod QR itu hanya boleh digunakan untuk agensi penguat kuasa, setakat ini JPN. Jadi, kod QR tersebut tidak boleh dibaca oleh mana-mana kamera telefon biasa.
“Ini untuk mendapatkan maklumat dan juga kita gunakan bagi tujuan penguatkuasaan, untuk sahkan sama ada dia adalah pemegang MyKad tersebut atau bukan,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak tergesa-gesa menukar MyKad generasi baharu kerana MyKad lama masih boleh digunakan untul pelbagai urusan.
“Ramai yang kemungkinan akan ada FOMO (Fear of Missing Out) untuk tukar. Macam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail umumkan untuk tidak berpusu-pusu hadir ke JPN,” katanya.
Bermula hari ini, urusan pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dibuat di 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan untuk mencetak MyKad dengan tempoh siap pada hari sama.
Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan MyKad generasi baharu masih boleh dibuat dengan tempoh siap lima hari bekerja.
MyKad generasi baharu itu dilengkapi keselamatan merangkumi Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window di bahagian hadapan, hingga Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi di bahagian belakang.
— BERNAMA

