Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 lakar sejarah semasa dunia berdepan COVID-19

Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 lakar sejarah semasa dunia berdepan COVID-19

PUTRAJAYA,. Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang julung kalinya diadakan secara maya, menyaksikan para pemimpin negara-negara anggota menegaskan komitmen mereka untuk perlunya meningkatkan kerjasama dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Walaupun dibatasi pergerakan dan ruang, apabila pemimpin kumpulan itu tidak dapat bertemu secara fizikal di Vietnam kali ini – termasuk melakukan tradisi berjabat tangan ASEAN – mesyuarat dan interaksi melalui sidang video itu berlangsung dalam semangat yang tinggi.

Vietnam adalah pengerusi Sidang Kemuncak pada tahun ini.

Sidang Kemuncak yang berlangsung sehari dengan tema “Bersatu dan Responsif”, menyaksikan para pemimpin membincangkan pelbagai isu dan kerjasama mengenai rantau ini, dengan tumpuan kepada keperluan bagi pelan pemulihan pascapandemik yang komprehensif untuk ASEAN.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengetuai delegasi Malaysia melalui persidangan video dari Putrajaya, telah mencadangkan agar ASEAN merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau – yang menggariskan keperluan untuk ASEAN bertindak dengan pantas dan tegas dalam menyelaraskan tindak balas serantau untuk merangsang semula ekonomi.

“Respons yang diselaraskan dengan baik akan memastikan kita muncul daripada krisis ini lebih kuat bersama-sama, sepertimana kita berdepan krisis sebelum ini,” katanya semasa sesi pleno pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36.

Ini merupakan kali pertama Muhyiddin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sebagai perdana menteri selepas dilantik pada 29 Feb lepas.

Dalam intervensinya, beliau juga menggesa rakan sejawat untuk mengukuhkan keazaman mereka dalam memenuhi tanggungjawab kolektif mereka, sambil menambah bahawa ia adalah “sekarang, lebih daripada sebelumnya” bagi kumpulan serantau berusia 53 tahun itu untuk menunjukkan kepada dunia “Cara ASEAN” melakukan sesuatu.

“Ia adalah sekarang, lebih daripada sebelumnya, kita perlu menunjukkan kepada dunia yang penuh dengan kebencian dan perpecahan, penuh dengan tangisan dan penderitaan, Cara ASEAN – bukan sekadar pemimpin berpegangan tangan ketika bergambar – sebaliknya berfungsi.

“Selaras dengan perkembangan terkini, kita mesti tunjukkan kepada dunia bahawa sebagai blok serantau, kita boleh bangkit menghadapi apa jua keadaan dan meneraju kepimpinan. Semua ujian dan penderitaan kita akhirnya boleh diatasi selagi kepercayaan, rasa hormat dan ketelusan, kekal,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan isu berkaitan wilayah Rakhine, Palestin dan Laut China Selatan.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang merupakan sebahagian daripada delegasi negara, berkata penekanan perdana menteri terhadap pemulihan ekonomi serantau disambut positif dan diterjemahkan menerusi perbincangan antara pemimpin, dalam menampilkan keputusan yang lebih kukuh seperti ‘gelembung perjalanan’ serantau dan pelancongan intra-ASEAN.

Perdana menteri juga menyertai sesi Pemimpin ASEAN dengan Wakil Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang diadakan di luar sidang kemuncak dan menekankan kepentingan peranan ahli parlimen dalam menyokong usaha-usaha ASEAN untuk memerangi COVID-19 dan mempromosikan kesedaran tentang komuniti ASEAN di peringkat akar umbi.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, di samping menghadapi cabaran masa kini, ASEAN juga perlu bersedia untuk menangani cabaran masa depan.

Beliau berkata untuk separuh akhir tahun 2020, cabarannya adalah untuk kerajaan negara anggota ASEAN memimpin ASEAN keluar daripada tempoh kesusahan ini, dan menurutnya jika berjaya, ia akan menjadi bukti nilai dan daya tahan abadi, Komuniti ASEAN Berdaya tahan dan Dinamik.

“Saya menjangkakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 ini akan menjadi acara bagi negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan kembali semangat perpaduan, kehendak politik dan komitmen kita yang kuat untuk bangkit mengatasi masalah pendemik dan terus maju.

“Dalam pada itu, kita perlu kekalkan kawalan yang baik ke atas pandemik COVID-19. Antara lain, kita perlu memperbaiki kerosakan dengan segera dan merangsang semula ekonomi serta meneruskan pembangunan ekonomi. Ini harus disertakan dengan usaha untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan untuk kerjasama dan integrasi ASEAN tahun ini,” kata Nguyen.

Sidang Kemuncak kali ini juga menyaksikan Sesi Khas Pemimpin ASEAN mengenai pemerkasaan wanita dalam era digital – iaitu untuk menegaskan komitmen pemimpin menggalakkan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita serta untuk meningkatkan peranan wanita dalam membina masyarakat ASEAN – diadakan buat julung kalinya.

Sidang kemuncak ASEAN pada mulanya dijadual diadakan pada 6 hingga 9 April di Da Nang, Vietnam, tetapi dijadualkan semula berikutan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Oleh Voon Miaw Ping & Samantha Tan

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )