Budaya Negara Terus Diperkasakan MOTAC Melalui Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021

Budaya Negara Terus Diperkasakan MOTAC Melalui Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur,  Jalan Conlay yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

Dasar ini menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran meskipun negara telah berjaya melakar kecemerlangan melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1971 yang kini mencecah usia separuh abad. Sehubungan itu, demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin, penggubalan DAKEN 2021 adalah tepat pada masanya bagi terus memperkasakan budya negara.

DAKEN merupakan sebuah dokumen holistik yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara. Inisiatif tersebut seiring menjadikan sektor ini sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia. DAKEN 2021 menggariskan wawasan menjadikan Malaysia “Negara Maju Rakyat Berbudaya” yang digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan  semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

7 teras utama yang digariskan di bawah DAKEN 2021 adalah berkaitan pelaksanaan seni, budaya dan warisan pada masa hadapan yang merangkumi Budaya Nilai Tinggi, Keharmonian Masyarakat, Pemeliharaan dan Pemuluharaan Warisan Budaya, Pembangunan dan Pengembangan Budaya, Pemerkasaan Budaya  Penjanaan Ekonomi Kebudayaan dan Kecemerlangan Budaya.

Dasar ini akan dilengkapi dengan 39 Strategi dan 95 Pelan Tindakan bagi tempoh pelaksanaan selama lima tahun (2021 – 2025). Pelaksanaan DAKEN melibatkan empat institusi penting iaitu institusi kekeluargaan, institusi pendidikan, institusi kemasyarakatan dan institusi perkhidmatan. DAKEN berperanan untuk mencorak seni, budaya dan warisan agar dapat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan DAKEN 2021 ini sebagai usaha mengjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara” jelas YAB Dato’ Sri Ismail Sabri.

– Joy Reyzal

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)