Kanada lapor kes kedua darah beku selepas vaksinasi AstraZeneca

Kanada lapor kes kedua darah beku selepas vaksinasi AstraZeneca

TORONTO: Pihak berkuasa kesihatan Kanada menyatakan kelmarin negara tersebut merekodkan kes kedua darah beku yang serius namun jarang berlaku yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca untuk Covid-19, namun masih mencadangkan vaksin itu untuk digunakan.

Pesakit terbabit yang tinggal di wilayah barat Alberta dan menerima vaksin AstraZeneca yang dibekalkan Serum Institute of India, telah menerima rawatan dan sedang beransur pulih, menurut pihak berkuasa kesihatan Kanada dalam Twitter.

Kanada melaporkan kes pertamanya mengenai darah beku dikaitkan dengan platelet pada Selasa lepas dalam seorang wanita Quebec yang telah menerima vaksin berkenaan.

Kanada juga terus menjangka penghantaran pertama vaksin COVID-19 Johnson & Johnson pada penghujung bulan ini di sebalik penangguhan oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) berkenaan kebimbangan kes darah beku, menurut para pegawainya minggu lepas ketika mengumumkan kes pertama tersebut.

Pembentukan darah beku dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca masih sangat jarang berlaku dan pihak Kanada tetap mempercayai bahawa kepentingan vaksin mengatasi risiko yang berpotensi, menurut pihak Kesihatan Kanada dan Agensi Kesihatan Awam Kanada.

Pihak berkuasa kesihatan Kanada menambah bahawa mereka akan terus mengawasi penggunaan semua vaksin COVID-19 dengan rapat dan memeriksa serta menilai mana-mana kebimbangan keselamatan baharu.

Pada penghujung Mac, Jawatankuasa Nasihat Imunisasi Kebangsaan (NACI) mencadang penangguhan penggunaan vaksin AstraZeneca bagi golongan berusia bawah 55 tahun kerana ia boleh memberikan kesan.

Bagaimanapun, Kesihatan Kanada menyatakan pada Rabu lepas bahawa menurut kepada analisisnya, mengehadkan penggunaan vaksin terhadap populasi tertentu tidak seharusnya dilakukan buat saat sekarang.

Selepas permulaan yang perlahan, kempen vaksin Kanada mencapai momentumnya.

Setakat ini, 23.3 peratus daripada populasi Kanada telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut kepada laman sesawang COVID-19 Tracker Canada.

Negara tersebut sedang berdepan gelombang koronavirus ketiga yang memaksa beberapa wilayah memperketatkan sekatan.

Ontario, yang mempunyai jumlah kes paling tinggi, mengumumkan pada Jumaat lepas ia akan memperkukuh dan melanjutkan langkah perintah kawalan pergerakan sehingga 19 Mei, dan turut menutup sempadannya dengan wilayah Quebec dan Manitoba bermula hari ini.

Kanada telah merekodkan lebih 1.1 juta kes COVID-19 sejak bermulanya pandemik dengan lebih 23,500 kematian.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )