MOTAC perkenal 13 SOP untuk rancak sektor pelancongan – Nancy

MOTAC perkenal 13 SOP untuk rancak sektor pelancongan – Nancy

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan 13 prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan dapat dilaksanakan dalam norma baharu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri berkata SOP berkenaan dibentuk bagi membantu penggiat industri untuk terus berdaya saing dalam situasi pandemik COVID-19.

“SOP ini akan menjadi panduan kepada orang ramai serta penggiat industri bagi merancakkan sektor tersebut semasa pandemik ini.

“Penyediaan SOP ini melibatkan sesi libat urus antara MOTAC dengan pemain industri berkaitanpelancongan seperti hotel, taman tema dan agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan Setahun Malaysia Prihatin mengenai kementeriannya pada Selasa.

Beliau berkata meskipun sektor tersebut antara yang terjejas teruk sepanjang tempoh COVID-19 melanda negara, MOTAC tetap komited melipatgandakan usaha bagi memastikan industri itu terus bertahan dan pulih dengan segera seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Nancy berkata melalui pendekatan responsif dan progresif, begitu banyak kejayaan dicapai oleh MOTAC selama setahun ini, yang mana boleh menjadi lembaran baharu dan pemangkin untuk industri tersebut bangkit semula.

Beliau berkata ini seterusnya membantu kelangsungan hidup para pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Kejayaan dicapai ketika menghadapi situasi penuh mencabar dalam tempoh setahun ini menunjukkan MOTAC sedar dan prihatin terhadap para penggiat industri yang sememangnya sangat terkesan dalam mendepani impak COVID-19 melanda negara.

“Saya menyeru agar semua ketua jabatan dan agensi di bawah MOTAC untuk terus berganding bahu dalam menerajui serta memulihkan industri pelancongan, seni dan budaya negara agar lebih maju dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.

Nancy berkata selain memperkenalkan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, MOTAC juga telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan 2020 yang dirangka melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) melibatkan kerjasama penggiat industri.

Katanya, MOTAC juga komited memperkasakan industri kraf negara dengan membangunkan pelbagai inisiatif secara digital selaras dengan Industrial Revolution (IR 4.0), termasuk E-Kraf Bazar, MyCraftShoppe, CraftOnTheGo, Google Art and Culture.

“MOTAC juga melaksanakan Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran (PENJANA) dengan menawarkan kemudahan latihan tenaga kerja baharu kepada belia, penganggur dan individu, selain menawarkan peluang pekerjaan bersama usahawan kraf terpilih,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)